Adakah perubahan perdana menteri bermakna suasana ekonomi akan bertambah baik?

Baru-baru ini negara telah melihat krisis politik yang huru-hara berlaku selama seminggu. Banyak reaksi dan persepsi siapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Kelapan. Akhirnya, kemelut politik berakhir dengan perlantikan Perdana menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Tentu sahaja perubahan perdana menteri secara mendadak akan turut mengubah suasana ekonomi negara, sama ada bertambah baik atau sebaliknya. Ianya bergantung kepada pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Walaupun mungkin akan berlaku pergerakan jangka pendek dalam pasaran saham atau pasaran matawang asing (yakni sama ada kejatuhan atau kenaikan nilai), namun di dalam jangka panjang persekitaran ekonomi Malaysia akan senantiasa bermasalah kerana sektor perbankan masih semakin berkembang dan ahli masyarakat dan organisasi senantiasa menambahkan kepada hutang mereka”.

Apa yang saya maksudkan di atas ialah punca utama masalah ekonomi kita ialah sistem yang tak betul kerana bersandarkan kepada industri hutang. Oleh sebab itulah, maka walaupun kerajaan silih berganti, namun masalah ekonomi tetap tidak dapat diselesaikan. Dahulu kerajaan BN yang memerintah selama puluhan tahun telah diganti oleh kerajaan PH. Ramai menyangka bahawa oleh kerana kerajaan yang mempunyai reputasi dipimpin oleh ahli politik yang korup telah digantikan dengan pemimpin yang lebih bersih secara, maka masalah kos sara hidup akan selesai. Tetapi kita semua tahu bahawa masalah harga  rumah dan barangan lain yang tinggi masih tidak dapat diselesaikan. Begitu juga upah atau gaji pekerja masih tidak mencukupi.

Sekarang kita akan masuk ke era kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun oleh kerana sistem ekonomi dan kewangan kita masih tidak berubah dan masih bergantung kepada industri hutang apa yang pasti ialah masalah ekonomi kita juga akan tetap tidak akan dapat diselesaikan.

Apa yang masyarakat kita harus sedari ialah apabila industri hutang berkembang maka jumlah hutang oleh isi rumah, kerajaan dan organisasi perniagaan juga akan bertambah. Sekarang ini, jumlah hutang tersebut ialah lebih dari RM3 trillion (atau RM3,000 billion). Ini merupakan beban yang besar yang ditanggung oleh mereka. Kerajaan yang menanggung hutang lebih dari RM1 trilion (yakni termasuk jaminan kerajaan kepada hutang syarikat GLC) akan keberatan untuk menaikkan gaji atau upah dan mengambil kakitangan baru sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan kepada graduan yang baru keluar dari universiti.

Begitu keadaan juga yang dihadapi oleh organisasi swasta. Mereka juga menanggung beban hutang yang tinggi disamping menghadapi persaingan yang sengit. Oleh itu mereka juga keberatan menaikkan gaji dan upah dan mengambil pekerja baru. Bahkan banyak organisasi mengambil buruh asing untuk menjimatkan kos walaupun ramai rakyat tempatan kita masih menganggur.

Pada masa yang sama, isi rumah yang telah mengambil pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain menghadapi beban untuk membayar hutang-hutang tersebut yang secara keseluruhan sekarang berjumlah lebih dari RM1.03 trillion. Adalah tidak menghairankan jika sesebuah isi rumah yang dalam kategori M40 menghadapi situasi berhutang lebih dari RM500,000 atau lebih jika membeli rumah dan kereta dengan berhutang. Di kalangan B40 pun, mereka juga mungkin mempunyai beban huatng yang dalam jumlah ratusan ribu juga jika juga ingin membeli kereta baru dan rumah.

Apa yang ramai dari ahli masyarakat juga tidak sedar ialah jika hutang ini diperolehi dari sistem perbankan, maka setiap kali urusniaga hutang berlaku, matawang baru akan diciptakan. Dalam keadaan hutang sentiasa meningkat, matawang baru berjumhlah  hampir RM10 bilion dicipta setiap bulan. Apabila matawang baru ini dicipta dengan kadar yang begitu cepat, yakni lebih cepat berbanding kadar penambahan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, maka nilai matawang tersebut akan menurun. Inilah yang dikatakan inflasi.

Hasilnya gaji dan upah yang diperolehi tidak mampu menyara hidup seseorang. Oleh kerana itulah sekarang ini kita dapati bahawa jika sesebuah keluarga di Bandaraya Kuala Lumpur memperolehi pendapatan RM2,000 sebulan secara total, keluarga tersebut masih menghadapi suasana kehidupan yang sulit. Apa tidaknya, sewa sebuah apartmen murah dua bilik di Petaling Jaya adalah tidak kurang dari RM1,000 sebulan. Ini bermakna separuh dari pendapatan mereka sudah pun habis. Hanya tinggal RM1,000 sahaja untuk membayar kos pengangkutan, kos makanan, yuran persekolahan anak, buku dan pakain dan lain-lain keperluan hidup. Sudah tentu RM1,000 adalah tidak mencukupi. Inilah yang dikatakan masalah sara hdiup (atau cost-of-living).

Sebagai rumusan, jika kita ingin melihat suasana ekonomi kita bertambah baik, kita perlu merubah sistem ekonomi dan kewangan kita supaya ia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada industri hutang.

Nilai masyarakat kita juga perlu berubah, yakni perlu berhenti dari berbelanja di luar kemampuan dengan menggunakan duit yang dihutang dari industri perbankan atau industri hutang. Kita perlu sedar bahawa jika kita perlu berhutang untuk membeli sesuatu, ia bermakna barangan tersebut ialah di luar kemampuan kita.

Sesungguhnya suasana ekonomi masyarakat kita hanya akan berubah apabila sistem kita tidak lagi bersandarkan industri hutang dan tidak akan berubah hanya dengan perubahan Perdana Menteri atau kerajaan semata-mata.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *