Kematangan politik Malaysia

Sejarah mencatatkan bahawa dalam kebanyakan insiden berkaitan kenegaraan, negara selalunya terjejas dan dilemahkan oleh tekanan dalaman.

Malaysia dijajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Puncanya apabila berlaku pertikaian untuk mendapatkan penguasaan terhadap kepentingan tertentu atau mungkin takhta kerajaan, lalu Inggeris kemudian dijemput untuk ‘menyelesaikan masalah’.

Dalam kebanyakan insiden, Inggeris menjalankan pentadbiran umum. Seorang Sultan atau Raja diletakkan di atas takhta, manakala sebahagian besar adat istiadat (melainkan hal berkaitan agama, cukai dan perhambaan) tidak ditadbir oleh Inggeris.

Di bawah Inggeris, kebanyakan hal pentadbiran seperti ekonomi, sosial dan pelajaran, memberi banyak kesan kepada politik Melayu sehingga hari ini. Kita didorong atau dipaksa secara sukarela untuk menerima kenyataan bahawa kita hanya pengguna akhir.

Konsep dualisme yang dikekalkan Inggeris – terutama melalui pembahagian sektor moden dan tradisi – terus meletakkan orang Melayu sebagai penduduk yang mendiami kampung serta menumpukan sepenuh perhatian dan aktiviti kepada pertanian dan maritim, selain aktiviti berproduktiviti rendah lain. Bandar pula terus dianggap sebagai ‘enklaf’ yang mewakili sektor moden dan berproduktiviti tinggi.

Ada kalangan sarjana tempatan dan luar negara menyimpulkan bahawa Malaysia mempunyai masa depan politik ibarat telur di hujung tanduk. Kemajmukan penduduknya dianggap satu kelemahan negara.

Tidak ada negara lain yang mengamalkan sistem politik yang mempertimbang elemen perkauman dan agama seperti Malaysia, meskipun elemen berkenaan diperuntukkan dengan jelas oleh Perlembagaan.

Kontrak sosial dikilas menjadi alat politik perkauman dalam kalangan politik kepartian. Sesiapa yang menyebutnya akan dipanggil rasis. Keadaan ini kemudiannya menjadikan identiti atau jati diri sebagai suatu ‘tabu’ atau pantang larang yang tidak boleh diungkap sama sekali.

Dari segi keselamatan negara, terdapat dua aspek penting iaitu luar dan dalam. Dalam situasi geopolitik masa kini, ancaman luar boleh diselesaikan dengan secara relatifnya mudah, jika Malaysia menjalin hubungan antarabangsa yang baik.

Dalam politik, kita tidak bimbang dengan musuh tetapi lebih gusar dengan ‘kekurangan’ atau ‘ketiadaan’ sahabat.

Isu seperti pembantaian Rohingya, Palestin, minoriti Islam di India, insiden Lahad Datu serta ketegangan di Selatan Thailand – Satun, Yala, Pattani dan Narathiwat – memerlukan kepakaran rundingan diplomasi tertinggi yang perlu Malaysia tingkatkan penguasaannya.

Kepemimpinan yang memberi impak besar kepada pembangunan Malaysia adalah jenis pemimpin transformasi dan transaksi yang dizahirkan menerusi pelbagai program pembangunan yang berteraskan pembangunan fizikal khususnya dalam meninggikan kualiti hidup rakyat terutamanya menerusi jaringan keselamatan sosial yang baik.

Pentadbiran dasar awam perlu diperkasakan lagi untuk memastikan pencapaian ekonomi secara lebih stabil dapat dicapai secara berkesinambungan, selain mampan menghadapi ketidaktentuan tekanan di peringkat makro.

Isu pendidikan juga agak mengganggu. Dilema dualisme ulama dan pemimpin sekular serta ‘eksklusiviti’ fahaman tertentu masih mempengaruhi politik dan pemikiran melalui pelaku politik.

Hal ini menjalar ke dalam pentadbiran pendidikan. Elemen liberalisme dan keterbukaan yang ditoleransi, agak jelas mengasingkan masyarakat sekali gus menguatkan prasangka dan kebencian antara satu sama lain.

Di sisi lain, klasifikasi ilmu terabai. Penekanan berlebihan terhadap sains dan teknologi kelihatannya meletakkan ilmu kemanusiaan di samping. Pembelajaran falsafah pula tidak kelihatan sebarang usaha untuk memperkasakannya, lalu pendidik dan mahasiswa kurang berupaya menjelmakan segi pemikiran yang kritis dan tuntas.

Ahli politik kita boleh masuk Parlimen dengan mudah selaku ‘Yang Berhormat’. Namun, agak ketara bukan semua tahu Perlembagaan dan sejarah negara, tetapi diberi keistimewaan untuk duduk di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nama wakil rakyat atau Ahli Parlimen, berdebat demi kesejahteraan rakyat.

Kematangan politik bermula di sini. Agak keterlaluankah untuk kerajaan mewajibkan setiap ahli dewan ini mengikuti dan ‘lulus’ ‘kursus’ seperti Perlembagaan Malaysia atau sejarah Tanah Melayu, sebelum mereka boleh dibenarkan berdebat atau mewakili rakyat?

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *