Muhyiddin galas tugas berat satukan rakyat

Meskipun perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini boleh dianggap sebagai penamat kemelut politik yang melanda negara sejak seminggu lalu, namun beliau menggalas cabaran besar untuk ditangani segera.

Umpama ‘pahat yang masih berbunyi setelah rumah baharu siap’, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini bukan sahaja perlu meyakinkan rakyat untuk menyokong kepemimpinannya, tetapi menaupkan kembali perpecahan dalam parti yang diterajuinya.

Sesetengah pihak turut bimbang, bahang krisis politik tanah air susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari lalu boleh kembali membakar sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya oleh Muhyiddin.

Menurut Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masri, cabaran paling besar yang harus ditangani Muhyiddin ialah mengembalikan keyakinan 33 juta rakyat Malaysia untuk menyokong pentadbirannya bagi meneruskan agenda pembangunan negara.

Muhyiddin sememangnya dikenali dengan pendekatan ‘sederhana’ dalam setiap tindakan dan kelebihan itu memberi keyakinan berhubung kematangan beliau dalam menghadapi situasi politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Bukan itu sahaja, proses yang berlaku sejak seminggu lalu turut menguji kematangan toleransi dalam kalangan ahli politik dan rakyat mempertahankan konsep demokrasi ala Malaysia.

“Alhamdulillah, kita akhirnya melalui ombak dan arus krisis perubahan landskap kepemimpinan negara dengan waras dan sewajarnya.

“Tugas yang perlu didepani rakyat dan barisan Kabinet yang akan dipilih nanti adalah bersatu di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan kerana beliau dipilih berdasarkan tiga elemen utama iaitu sokongan majoriti ahli politik, perakuan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong serta pengalaman dan ketokohan yang ada pada beliau,” katanya.

Menurut Mohd Idrus, setiap rakyat negara ini harus menghormati peranan perdana menteri sebagai pemudah cara pembangunan serta perpaduan, dengan mengutamakan semangat patriotisme dan cintakan keamanan melebihi kepentingan peribadi.

Sebagai Perdana Menteri kelapan, beliau berkata, Muhyiddin perlu mendapatkan persetujuan sebulat suara bagi menubuhkan sebuah kepemimpinan kerajaan dalam kalangan ahli politik yang menyokongnya.

“Ini penting bagi memastikan baki tempoh pemerintahan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tiada gangguan, lancar dan tiada sabotaj dalaman.

“Oleh itu, pemilihan barisan anggota Kabinet yang mantap, berdaya tahan, mempunyai wawasan serta setiakawan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing sangat penting, ” katanya sambil menambah, beliau yakin rakyat Malaysia kini semakin matang dan sentiasa memerhati haluan kepemimpinan kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff, berpendapat Muhyiddin akan menghadapi cabaran terutama berhadapan dengan blok pembangkang, selain memilih barisan Kabinet yang boleh melaksanakan tanggungjawab disenangi rakyat dan negara.

“Rakyat mengharapkan penubuhan sebuah kerajaan yang telus, amanah dan berpegang teguh kepada kesepakatan dalam gabungan parti kerajaan terutama dalam membasmi penyelewengan sebab itu adalah aspirasi rakyat apabila memilih Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14,” jelasnya.

Beliau menambah, Muhyiddin perlu memberi keutamaan untuk merapatkan barisan permuafakatan bersama gabungan parti bagi membentuk kerajaan serta mencari pendekatan holistik bagi menyelesaikan konflik dan mengharungi cabaran politik dalam masa terdekat.

“Ini akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan meneruskan agenda nasional bagi memacu negara ke hadapan.

“Saya juga rasa Muhyiddin harus memilih jalan terbaik untuk memastikan semua parti dalam gabungan nanti bersefahaman dan mempunyai misi mendirikan kerajaan yang terbaik untuk rakyat dan negara walaupun tidak dapat memenuhi impian dan aspirasi parti gabungan,” katanya.

Selain itu, bagi membawa satu suara di bawah nama Malaysia, jalinan kerjasama dengan Sabah dan Sarawak juga harus diperkukuhkan.

Menurut Syed Agil, langkah itu bagi memastikan kesepakatan politik baharu dapat menguntungkan kedua-dua pihak.

“Cabaran buat Muhyiddin ialah untuk berunding dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi memperoleh sokongan memandangkan parti itu menerajui kerajaan Sabah.

“Sudah pasti banyak cabaran dan halangan yang harus ditempuhi untuk membina jalinan kerjasama dengan parti berkenaan,” katanya.

Di samping mengembalikan keharmonian politik, Perdana Menteri yang baru dilantik itu juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi dan taraf hidup di Sabah serta Sarawak.

Ini termasuk projek pembangunan infrastruktur, penambahbaikan kemudahan di bandar dan luar bandar, mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk dan pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang lebih cekap bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang boleh meneroka banyak peluang pekerjaan baharu. “Di samping itu, taraf sosioekonomi rakyat Sabah dan Sarawak yang terjejas disebabkan kemelut ekonomi juga harus diberi perhatian.

“Pelan pembangunan rakyat Sabah dan Sarawak haruslah dinilai semula dan ditambah baik bagi merealisasikan impian serta aspirasi kedua-dua negeri itu setelah 57 tahun membentuk Malaysia,” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *