Hormati keputusan Yang Di-Pertuan Agong

PAS meminta semua pihak menghormati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan melantik Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi ruang yang cukup kepada Ahli Parlimen.

Katanya, baginda telah memanggil semua 222 Ahli Parlimen dari Muafakat Nasional (MN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi pandangan serta membuat keputusan dengan memanggil pula ketua-ketua parti politik sebelum memutuskan untuk melantik Muhyiddin.

“Saya kira ini satu pengalaman pentadbiran baginda yang sangat cermat, tersusun dan kemas dalam membuat keputusan.

“Baginda tidak terburu-buru, bahkan mengambil ruang hampir seminggu untuk membuat keputusan dan kita mendoakan Yang di-Pertuan Agong terus dipelihara oleh Allah dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama pemimpin dan penyokong MN mengadakan solat hajat sempena pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan di Masjid Wilayah di sini, hari ini.

Turut hadir dari kalangan pemimpin PAS ialah Naib Presidennya, Idris Ahmad, Datuk Nik Zawawi Salleh, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

UMNO pula diwakili Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Kira-kira 700 melibatkan pemimpin dan penyokong parti MN menunaikan solat hajat secara berjemaah.

Mengenai majlis itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, mereka mengadakan solat hajat sempena majlis mengangkat sumpah Perdana Menteri kelapan yang baharu diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita sambut dengan penuh kesyukuran kepada Allah, yang kebetulan juga Masjid Wilayah ini turut mengadakan majlis sama.

“Solat hajat ini dihadiri beberapa Ahli Parlimen MN sebagai tanda kesyukuran dan kita berdoa serta bermunajat supaya Allah memelihara keamanan dan kedamaian negara ini.

“Kita mendoakan juga agar peralihan kuasa sekarang ini berlaku dengan penuh aman dan damai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk sama-sama berperanan bagi memelihara komuniti masing-masing supaya tidak terjerumus dengan pihak yang cuba menimbulkan provokasi dan menunjukkan suasana tidak puas hati dan sebagainya.


Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *