The King and the Chief Servant

  • By Wendy. V
  • February 27, 2020
  • 0
  • 97 Views

Fenomena yang sedang melanda Malaysia ini digelar “government formation deadlock”.

“Deadlock” ini boleh berpunca daripada (1) “hung parliament”, iaitu keadaan selepas PRU yang mana tiada parti mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan dan pada masa yang sama, tidak mahu bergabung, atau (2) “coalition breakdown”, iaitu gabungan parti-parti yang telah membentuk kerajaan mengalami perpecahan dan parti-parti dalam proses perundingan semula untuk “re-form” kerajaan semula.

Keadaan pertama seakan sama seperti Israel sepanjang tahun lepas. Walaupun 2 kali PRU diadakan, kerajaan Israel masih tidak dapat dibentuk sebab kedua-dua parti yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu dan Benny Gantz tidak mendapat majoriti.

Tetapi, kedua-dua mereka ingin menjadi Perdana Menteri (PM). Oleh sebab itu, PRU harus dibuat untuk kali ke-3 selepas kerajaan masih tidak dapat dibentuk. Netanyahu seolah-olah sekadar menjadi “caretaker PM” sahaja.

Keadaan kedua sama seperti Itali. Pada September tahun lepas, kerajaan gabungan parti “Liga Utara” (Lego Nord) dan “Gerakan Lima Bintang” (M5S) tumbang selepas setahun mentadbir. Lego merupakan parti di sebelah utara Itali, manakala M5S adalah parti di sebelah selatan. Kedua-dua parti mempunyai ideologi yang berbeza – di mana Lega (right-wing populist) dan M5S (left-wing populist).

Tetapi, disebabkan dua parti ini mendapat undian majoriti dan anti parti pemerintah sebelumnya (Parti Demokratik), yang mendapat undian ketiga terbanyak, maka parti-parti ini terpaksa bergabung.

Malangnya, gabungan Lega-M5S akhirnya berpecah – Lega ditendang menjadi parti pembangkang semula dan M5S terpaksa bekerjasama dengan Parti Demokratik yang tidak digemari, untuk membentuk kerajaan.

Deadlock ini adalah benda biasa sahaja. Di kebanyakan negara maju, benda ini selalu sahaja berlaku dan masalah deadlock yang dialami mereka agak lama. Pada tahun 2018-2019, Sweden mengambil masa selama 133 hari untuk selesaikan isu ini – kerajaan tidak dibentuk sepanjang tempoh ini. Di tahun 2017, Belanda, selama 208 hari. Belgium menjalani tempoh yang lebih lama pada tahun 2010-2011 dengan 541 hari. Malaysia setakat ini hanya berlangsung 2 hari sahaja.

Walaupun begitu, dalam keadaan “deadlock” dan tidak mempunyai kerajaan, negara masih dapat berfungsi seperti biasa dengan adanya ketua negara (head of state) dan penjawat awam (civil servant). Maka, dengan adanya “twin pillars” ini, negara masih terlindung dari keadaan huru-hara. Kerajaan tidak ada, tetapi negara masih mempunyai ketua. Sekiranya tidak ada ketua, barulah keadaan dipanggil “stateless” atau “anarchy” (an=tiada, archy= ketua).

Bagi negara demokrasi berparlimen (parliamentary democracy) yang mempunyai Raja, Raja merupakan ketua negara. Bagi yang tidak ada Raja, presiden dianggap ketua negara.

Negara yang ketua negaranya presiden, dan presiden juga merupakan ketua kerajaan (seperti US, Turki, Indonesia dan Filipina), dipanggil sebagai demokrasi berpresiden (presidential democracy). Negara-negara tidak mempunyai perdana menteri.

Russia, Perancis dan Korea Selatan pula, mereka mempunyai perdana menteri, tetapi ketua kerajaan ialah presiden. Ini dipanggil sebagai demokrasi separa-presiden (semi-presidential democracy).

Bagi demokrasi berparlimen yang tidak mempunyai Raja seperti Israel, Itali dan Singapura, presiden mereka memainkan peranan ketua negara sama seperti Raja di negara yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan seperti UK, Sweden, Belgium, Belanda dan Malaysia.

Apabila berlaku “deadlock” pembentukan kerajaan, ketua negara akan bertindak sebagai penimbangtara (mediator) antara parti-parti yang berkonflik, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Seperti krisis di Israel dan Itali, presiden dari kedua-dua negara ini memanggil (summon) ketua parti yang berkonflik untuk mencari penyelesaian kepada masalah.

Tetapi kalau dibandingkan atara presiden dan Raja Berpelembagaan, selalunya Raja Berpelembagaan dapat memainkan peranan penimbangtara dengan lebih baik. Selain “above politics”, Raja juga mempunyai prestij untuk memerintahkan supaya parti-parti dalam konflik berkompromi.

Presiden yang dilantik dari kalangan orang awam kurang prestij tersebut. Malahan, untuk mencari orang awam yang betul-betul neutral untuk menjadi presiden juga agak sukar.

Presiden di Lubnan dan Iraq bukan sahaja gagal memainkan peranan penimbangtara, malah membuat keadaan bertambah teruk. Presiden Lubnan ialah seorang Kristian Maronite, dan disebabkan itu, ahli politik Muslim dan Kristian Ortodoks tidak mahu mendengar beliau. Di Iraq, kedua-dua Sunni dan Syiah tidak mahu patuh kepada presiden kerana presiden ialah seorang Kurd, yang mempunyai agenda politik tersendiri.

Malaysia kira bertuah sebab mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan. Sistem yang dapat mencapai keseimbangan antara “Raja yang pasif” (raja yang tak ada peranan dalam politik macam maharahaja Jepun) dan “Raja yang aktif” (raja berkuasa mutlak macam Sultan Brunei).

Sistem British mengehadkan kuasa Raja, tapi pada masa yang sama memberi Raja “hak” yang cukup kritikal untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada demokrasi.

Hak tersebut dirumuskan oleh Walter Bagehot dalam “The English Constitution” (1867) sebagai “the right to be consulted, the right to encourage, the right to warn.”

Satu lagi sistem yang kita warisi daripada British ialah sistem perkhidmatan awam tetap (permanent civil service). Penjawat awam tetap ialah kakitangan kerajaan yang dilantik atas merit (menerusi peperiksaan dan saringan khas) oleh badan khas (seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dan bukan atas perlantikan politik. Tetap kadang-kadang di Malaysia ada yang menggelar lantikan politik, walhal ianya bukan.

Ciri utama penjawat awam tetap ini ialah mereka kekal walaupun kerajaan bertukar. Kalau di dalam Bahasa Inggeris, ketua setiausaha (ketua penjawat awam di setiap kementerian) dipanggil “permanent secretary”.

Di negara demokrasi berpresiden seperti US, mereka tidak mempunyai sistem seperti itu. Tukar kerajaan, tukar nama staff (kecuali kerani dan diplomat). Uniknya sistem yang dicipta British ini turut mempunyai satu ketua kepada penjawat awam iaitu “cabinet secretary (ketua setiausaha negara di Malaysia).

Sistem perkhidmatan awam tetap ini dicipta oleh British pada pertengahan abad ke-19 selepas mereka menyedari ketidakstabilan yang ada pada demokrasi berparlimen. Bila sahaja kerajaan tumbang, maka perlu ada sekumpulan orang yang akan menjalankan tugas pentadbiran sementara ahli-ahli politik berkelahi.

Untuk memastikan pentadbiran negara jalan dengan lancar, penjawat awam mempunyai tatacara khas sendiri. Bagi yang tidak memahami konsep penjawat awam, mereka akan gelar penjawat awam ini “deep state”(kaki sabotaj) sebab tidak mengubah tatacara mereka mengikut kehendak semasa.

Kalau di UK, penjawat awam tetap ini dipanggil sebagai “His/Her Majesty’s Most Loyal Servant”, sebab peranan mereka adalah untuk melengkapi peranan Raja Berpelembagaan, dan kesetiaan mereka adalah kepada raja dan negara.

Demokrasi memang bersifat “chaotic” dan sentiasa “in flux”. Walaupun negara berada dalam ketidaktentuan politik, negara masih berada dalam “safe hands” dibawah dua individu penting yang memastikan negara berada dalam di landasan betul – Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) selaku ketua negara, dan Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara (KSN) selaku ketua penjawat awam.

Temubual yang dikendalikan oleh YDPA dan disaksikan oleh KSN pada semalam cukup simbolik dalam menggambarkan peranan “twin pillars” ini.

Di saat-saat krisis beginilah baru terserlah peranan penstabil mereka yang selama ini dilepas pandang dan dianggap remeh (took for granted).

Daulat Tuanku.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *