Baki 131 lagi Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini

  • By Wendy. V
  • February 26, 2020
  • 0
  • 83 Views

Sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 131 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 Ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Ia susulan keputusan mengejutkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri ke-7 dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selepas menerima surat peletakan jawatan itu.

Seri Paduka turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Dr Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama.

Sementara itu, di Putrajaya, Dr Mahathir dijadual menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pejabat Perdana Menteri.

Pakatan Harapan (PH) juga dijangka mengeluarkan kenyataan hasil mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung malam tadi.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *