Agong berkenan kurnia surat cara Pelantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak

  • By Wendy. V
  • February 26, 2020
  • 0
  • 91 Views

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara Pelantikan bagi jawatan Hakim Besar Sabah dan Sarawak kepada Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, di Istana Negara di sini.

Pelantikan Abang Iskandar, 61, yang berkuat kuasa hari ini, menggantikan Tan Sri David Wong Dak Wah yang bersara pada 20 Februari.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu, turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Abang Iskandar sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah memegang beberapa jawatan lain seperti Hakim Mahkamah Rayuan selama lima tahun, sejak 2013.

Beliau yang juga anak kelahiran Sibu, Sarawak dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya ini memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada 1983, sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Miri, Sarawak.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *