Cubaan rampas pemerintahan politik kotor – Syed Badli

  • By Wendy. V
  • February 25, 2020
  • 0
  • 62 Views

Cubaan merampas pemerintahan yang ditubuhkan secara demokratik jelas mengkhianati mandat rakyat sekali gus adalah permainan politik kotor dan keji.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman ketika mengulas perkembangan mutakhir politik di negara ini berkata, pihaknya maklum terdapat cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang bersama pihak pembangkang.

Menurutnya, tindakan itu adalah perbuatan yang keji dan khianat.

“Saya berasa begitu kecewa dengan tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat terlibat dengan gerakan untuk merosakkan gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, saya menyarankan pimpinan PKR memecat keahlian Azmin Ali dan semua ahli parti yang terlibat dalam gerakan keji ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembangkang yang terlibat secara langsung seharusnya bersabar sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dan bukannya merampas kuasa dengan cara keji serta licik.

Menurutnya, merampas kuasa dengan jalan songsang meletakkan mereka yang terlibat sebagai tidak bermaruah dan tiada jati diri.

“Anggota PKR yang terlibat secara langsung dengan usaha ini telah melanggar etika parti dengan cubaan mensabotaj keharmonian parti.

“Tiada maaf bagi mereka yang khianat dalam perjuangan dan golongan ini tidak harus diberi tempat di mana-mana,” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *