SPRM tidak minta dokumen baru daripada Najib, Rosmah, disoal selama sejam

  • By Wendy. V
  • February 21, 2020
  • 0
  • 59 Views

Bekas perdana menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor selesai disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rakaman audio dikatakan suara mereka dan beberapa individu lain berkait 1MDB.

Mereka berada di SPRM selama 1 jam, berhubung siasatan ke atas 9 rakaman audio yang didedahkan pihak berkuasa itu sebelum ini didakwa berkaitan konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim ketika ditemui memaklumkan SPRM tidak meminta sebarang dokumen baru, sebaliknya hanya merakam percakapan anak guamnya.

“Tiada dokumen baru diminta, hanya memberi kenyataan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menemani Najib dan Rosmah memberi keterangan di Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini, hari ini.

Rajivan berkata, SPRM juga tidak memaklumkan sama ada Najib dan Rosmah akan dipanggil semula untuk diambil keterangan.

“Kami tidak dimaklumkan sama ada akan dipanggil semula atau tidak,” katanya.

Najib dan Rosmah diambil keterangan secara berasingan.

Terdahulu, mereka tiba di Maca kira jam 3 petang menaiki kenderaan Proton Perdana.

Pagi tadi, Najib dan Rosmah masing-masing diambil keterangan oleh Bukit Aman pada 10.30 pagi dan keluar sejam kemudian berhubung perkara sama.

Rakaman keterangan mereka itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Pada 8 Jan, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB serta SRC International Sdn Bhd.

Polis sebelum ini mengambil keterangan 12 individu dalam siasatan ke atas rakaman audio berkenaan.

Mereka yang dirakam percakapan termasuk ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khas beliau, Amhari Efendi Nazaruddin.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *