Ahmad Maslan mohon batal dakwaan pengubahan wang haram RM2 juta

  • By Wendy. V
  • February 21, 2020
  • 0
  • 92 Views

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan memfailkan permohonan untuk membatalkan 2 dakwaan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Peguamnya, Hamidi Mohd Noh berkata, Ahmad mencabar pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 32(8)(c) kta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), dengan alasan ia “tidak berasas”.

Beliau berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah pada 11 Feb.

“Kami mencabar integriti (keutuhan) daripada pertuduhan itu. Kami mengatakan pertuduhan itu adalah salah dari segi undang-undang dan tidak berasas.

“Pertuduhan itu adalah tidak berasas dan kami mencabar kesahihan, integriti dan motif pertuduhan,” kata Hamidi kepada media di samping Ahmad berdiri disebelahnya di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad menetapkan 23 Mac untuk mendengar permohonan Ahmad selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memfailkan maklum balasnya.

Ahmad didakwa bulan lalu kerana gagal mengisytiharkan pulangan cukai beliau pada 2003 sebanyak RM2 juta yang didakwa diterima daripada Najib, serta memberikan maklumat palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada Ahmad dan 79 individu lain, menuntut mereka memulangkan wang yang mereka terima yang didakwa dari 1MDB.

SPRM berkata ia menerima lebih RM420 juta daripada Najib.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *