MH370: Tiada bukti sokong teori kaitkan MH370 dengan bunuh diri

  • By Wendy. V
  • February 19, 2020
  • 0
  • 89 Views

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan belum ada bukti yang dapat menyokong teori bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berpunca daripada tindakan juruterbangnya membunuh diri.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang andaian atau keputusan muktamad selagi serpihan pesawat yang hilang bersama 239 penumpang hilang belum ditemui.

Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.

“Kita belum dapat menemui bangkai kapal terbang serta manusia yang terlibat atau mereka yang menjadi penumpang kapal terbang itu.

“Saya tidak tahu siapa pegawai tertinggi Malaysia yang (Abbott) maksudkan itu.

“Sewaktu itu termasuk saya juga terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut. Kita siasat dari semua sudut baik dari segi keganasan, hijack (rampasan) oleh pihak tertentu, macam-macam teori dengan menggunakan teknologi canggih, macam-macam, jadi banyak fakta telah terkumpul,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dab Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak yang dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah JKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid hari ini.

SkyNews memetik kenyataan Abbott yang mendakwa seorang ‘berpangkat tertinggi’ di Malaysia memberitahunya juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam kejadian tersebut.

Kehilangan pesawat itu memasuki tahun keenam bulan depan.

Abott berkata, berdasarkan pemahamannya yang amat jelas daripada peringkat tertinggi Kerajaan Malaysia, sejak awal lagi sudah mengesyaki ia satu pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang.

Tetapi Abott tidak mendedahkan identiti individu terbabit.

“Saya tidak akan beritahu siapa cakap apa kepada siapa. Tetapi, biar saya ulangi – Saya mahu terangkan – ia difahamkan di peringkat tertinggi yang ini hampir pasti (kes) pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang. Pembunuhan beramai-ramai dan bunuh diri oleh juruterbang,” dakwanya dalam wawancara itu.

Bagaimanapun Abbott berpendapat dia tidak mengesyaki ada konspirasi untuk menyembunyikan dakwaan rancangan pembunuhan oleh juruterbang itu, tetapi menyokong sebarang langkah membuka semula siasatan.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pada 10 Februari lalu, kerajaan Malaysia menegaskan, tiada misi terbaharu untuk mencari pesawat berkenaan.

Sebelum ini, syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat, Ocean Infinity, pada Mei tahun lalu mengesahkan misi pencarian MH370 sudah berakhir.


Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *