Operasi TH di bawah pengurusan baharu, tiada pemberhentian pekerja

  • By Wendy. V
  • February 18, 2020
  • 0
  • 74 Views

Operasi empat buah hotel Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindah milik kepada syarikat tujuan khas, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ), akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan baharu dan tiada pekerja yang akan diberhentikan.

TH dan UJ berkata, segala pengurusan dan pekerja rangkaian hotel berkenaan yang sebelum ini diselia oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) akan diambil alih oleh UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM), anak syarikat milik penuh UJ bermula 1 April ini.

“Seramai 90% pekerja THHR akan terus berkhidmat di rangkaian Raia Hotel manakala baki 10% tenaga kerja hotel itu akan diserap ke dalam TH Kelana Jaya. Selain itu, 90% pekerja terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR.

“TH akan sentiasa menjaga kebajikan pekerja terlibat demi kelangsungan karier mereka pada masa depan,” kata kenyataan itu. Notis penamatan operasi kesemua hotel berkenaan telah dikeluarkan oleh TH, semalam.

UJPM yang ditubuhkan sebagai langkah memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel akan diterajui bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia, Muhammad Solleh Ramli.

Muhammad Solleh sebelum ini juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengurusan Hotel MS Garden, Kuantan Pahang.

Bagi melengkapkan transaksi pindah milik berkenaan, UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai selain menyediakan dana bagi menambah baik kemudahan hotel terbabit.

Selain itu, UJ turut memberi jaminan bahawa hotel-hotel tersebut boleh terus digunakan seperti mana sebelum ini ketika musim operasi haji.

Menurut kenyataan itu, rangkaian hotel tersebut adalah sebahagian daripada pemindahan aset TH yang merangkumi 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti dengan nilai semasa RM9.63 billion pada hari pemindahan.

Pengambilalihan rangkaian hotel itu adalah sebahagian daripada Pelan Penstrukturan dan Pemulihan Semula TH dan merupakan langkah perlu diambil UJ bagi memenuhi mandat diberikan kerajaan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

“UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ.”

Sehubungan itu, TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh kepada pihak pengurusan baharu dan UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel tersebut dari segi penjenamaan semula, menaik taraf fasiliti dan mengoptimumkan kecekapan.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *