PAS dakwa perjanjian peralihan kuasa cabar kuasa YDPA

  • By Wendy. V
  • February 17, 2020
  • 0
  • 92 Views

Perjanjian peralihan kuasa yang dimuktamadkan parti sekutu Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikatakan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Pandangan ini dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa sekiranya perjanjian itu benar-benar wujud, maka ia bercanggah dengan undang-undang dan dianggap sebagai tidak sah.

Beliau menjelaskan, dalam urusan pelantikan Perdana Menteri, YDPA tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak, apatah lagi apabila ada desakan dan tekanan jelas oleh PH.

“Berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh bertindak menurut budi bicara mutlak baginda untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, ‘Perjanjian Peralihan Kuasa’ yang dikatakan bertarikh 7 Januari 2018, sekiranya benar-benar wujud adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak sah.

“Ini kerana ‘perjanjian’ yang dikatakan wujud itu dibuat sebelum 9 Mei 2018 iaitu tarikh PH mendapat kuasa melalui PRU-14. Adalah amat ganjil ‘Perjanjian Peralihan Kuasa’ dibuat sebelum pihak yang dikatakan mengikat perjanjian itu mendapat dan mempunyai kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, perjanjian parti sekutu PH berhubung isu berkenaan tidak menyatakan tarikh khusus peralihan kuasa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

Isu peralihan kuasa Perdana Menteri kembali hangat selepas beberapa pimpinan politik terutama dari PKR menggesa supaya tarikh peralihan kuasa yang lebih jelas ditetapkan.

Beberapa kumpulan pemimpin PH dari PKR dan DAP sebelum ini kuat mendesak supaya peralihan kuasa direalisasikan pada Mei ini atau genap dua tahun selepas PH berjaya membentuk kerajaan susulan memenangi PRU-14 pada Mei 2018.

Dr Mahathir sebelum ini menyuarakan yang tempoh peralihan kuasa beliau kepada Anwar adalah selepas berakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, status peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

Kemelut peralihan kuasa ini timbul kebelakangan ini apabila ada wakil rakyat PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Sementara itu, Takiyuddin menegaskan, PAS tetap dengan pendirian yang ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat atau menerusi SD Ahli Parlimen saja boleh menentukan sama ada Perdana Menteri masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat jika seorang kedudukannya dipertikaikan.

“Usul Undi Percaya di dalam Dewan Rakyat walaupun suatu perkara yang belum pernah berlaku, ia bukan tidak sah,” katanya.

PAS sebelum ini bertegas akan mengemukakan usul undi percaya kepada Dr Mahathir untuk kekal menerajui negara sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal pada sidang Dewan Rakyat bermula bulan hadapan.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *