Lim Kit Siang dedah pembangkang rangka plot untuk lancar ‘torpedo’

  • By Wendy. V
  • February 17, 2020
  • 0
  • 79 Views

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, mendedahkan bahawa ada pihak merancang “konspirasi dan plot” tertentu untuk melancarkan serangan “torpedo” ke arah Pakatan Harapan (PH) menjelang pertemuan pemimpin utama parti di dalam Majlis Pimpinan PH pada Jumaat, 21 Feb ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata pembangkang ‘anti-PH’ itu memang berharap bahawa “sesuatu yang besar” akan dapat merosakkan gabungan terbabit sebelum mesyuarat majlis presiden berlangsung Jumaat depan.

“Terdapat konspirasi pembangkang dan perancang untuk serangan torpedo terhadap kerajaan PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, namun mereka telah tersalah membaca rentak dan komitmen pemimpin PH untuk menetapkan semula dasar membina negara dan membangunkan bakat rakyat.

“Kerajaan PH akan memanfaatkan keempat-empat tamadun besar yang bersatu membentuk Malaysia dan membangunkan negara ini menjadi negara kelas dunia dan sekali gus, mengakhiri trajektori Malaysia sebagai negeri kleptokrat, penyangak dan gagal,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mengenai plot yang dikatakan cuba mengganggu peralihan kuasa di antara ahli parlimen Port Dickson itu dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Anwar mendedahkan terdapat rancangan melibatkan wakil rakyat PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Dr Mahathir bukanlah sebahagian daripada rancangan itu untuk mengagalkan pelan peralihan kuasa itu.

Anwar cenderung supaya Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.

Lim berkata PH komited untuk memperbaiki kesalahan dilakukan kerajaan lalu untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.

“Kami komited untuk mencapai pemulihan dalam semua aspek kehidupan di Malaysia supaya dapat mencapai matlamat untuk melihat Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, demokratik, progresif dan makmur, yang menjadi negara kelas dunia.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan persidangan parlimen kali ini sebagai pertemuan yang paling penting, bukan sahaja dalam sejarah kerajaan PH yang 22 bulan sudah memerintah, malah dalam sejarah negara dengan melaksanakan sebanyak mungkin janji PH untuk Malaysia Baharu pada PRU ke-14 lalu,” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *