Kaum wanita antara teruk terkesan sepanjang PKP, berisiko alami kemiskinan di Selangor

  • By Wendy. V
  • April 28, 2020
  • 0
  • 251 Views

Negeri Selangor adalah yang paling terjejas dengan mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara. Setakat 27 April, sebanyak 1,398 kes yang telah disahkan, dengan kumulatif kematian iaitu 17 orang di Selangor sahaja.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sedikit sebanyak memberi kesan kepada sosio-ekonomi masyarakat. Syarikat atau sektor pekerjaan terpaksa mengurangkan pekerja, memberi cuti tanpa gaji, malahan ada yang kehilangan pendapatan kerana tiada kehilangan sumber gaji harian mereka.

Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah menjalankan kaji selidik yang mana bertujuan untuk mengkaji kesan penularan wabak COVID-19 terhadap sosio-ekonomi dan kehidupan wanita di Selangor.

IWB menjalankan kaji selidik itu terhadap 442 wanita di Selangor melalui atas talian selama empat hari, bermula 27 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 semasa fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 84% responden berada dalam kategori B40 atau isi rumah berpendapatan rendah kurang daripada RM6,275 sebulan, manakala 40% berpendapatan antara RM989 hingga RM3,000 sebulan serta 16% lagi berpendapatan di bawah indeks garis kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada RM989 sebulan.

26% responden bergantung sebahagian besarnya pada gaji harian dari pendapatan sampingan seperti membakar biskut, perkhidmatan katering, perkhidmatan pengangkutan untuk anak-anak pergi dan balik sekolah, dan melakukan kerja yang boleh dilakukan dari rumah seperti melipat kotak, menjahit, atau mencuci pakaian.

31% responden yang ditinjau adalah pelajar dan suri rumah. 31% melaporkan bahawa mereka bekerja dari rumah, 11% mendapat cuti tanpa gaji, manakala 9% terpaksa menutup perniagaan mereka, dan 1% telah diberhentikan kontrak pekerjaan mereka.

Daripada semua responden, 25% mengalami kehilangan pendapatan, terutamanya menjadi prihatin apabila ia berlaku kepada wanita dengan keluarga besar, dengan pendapatan isi rumah bulanan yang lebih rendah, bergantung pada gaji harian, atau yang wanita yang mencari nafkah.

Ini adalah wanita bekerja yang paling banyak terjejas oleh PKP dengan keperluan isi rumah yang memerlukan bantuan khusus atau berisiko jatuh ke dalam kemiskinan.

Hasil tinjauan juga menunjukkan bahawa majoriti wanita yang ditinjau pada umumnya bersikap optimistik akan pulih secara kewangan setelah tamat tempoh PKP, tetapi ramai yang bimbang dengan keadaan kesediaan kewangan mereka pada ketika ini, terutama sekiranya PKP dilanjutkan lagi.

55% daripada mereka yang ditinjau tidak merasa yakin dari segi kewangan sekiranya PKP dilanjutkan. Sememangnya, golongan ibu tunggal khususnya, muncul sebagai kelompok rentan dengan satu perempat hidup di bawah indeks garis kemiskinan.

62% wanita yang ditinjau menyatakan simpanan mereka cukup untuk bertahan sehingga empat minggu, sementara hanya 9% yang mengaku mempunyai simpanan yang cukup selama lebih dari enam bulan.

Tinjauan IWB juga mendapati bahawa 14% responden mengaku bahawa mereka atau ketua keluarga sebelum ini pernah membuat pinjaman dari ‘Ah Long’, trend membimbangkan yang menunjukkan keterdesakan, memberi risiko terhadap kemampuan kewangan wanita dalam jangka masa panjang.

Hasil tinjauan IWB menunjukkan bahawa kebanyakan wanita di Selangor berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan dalam talian, tetapi mereka memerlukan akses internet, latihan dan perkhidmatan kewangan bagi memenuhi permintaan rumah tangga.

IWB menyimpulkan dengan menganjurkan bantuan tunai secara langsung untuk golongan wanita ini, melakukan langkah-langkah keselamatan ekonomi bagi wanita dan langkah pemulihan untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki oleh wanita.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *