Hari Tapir Sedunia: Orang awam perlu mainkan peranan untuk selamatkan tapir dari kepupusan

  • By Wendy. V
  • April 27, 2020
  • 0
  • 132 Views

Tanggal 27 April setiap tahun, Hari Tapir Sedunia disambut, di mana tahun ini sudah memasuki tahun ke-11 ianya disambut sejak diadakan pada tahun 2008. Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam terhadap empat spesis tapir yang masih wujud di Amerika Tengah dan Selatan dan di Asia Tenggara.

Orang awam didesak untuk melaporkan sebarang insiden pencerobohan hutan atau pemburuan haram kepada pihak berkuasa bagi melindungi hidupan liar yang terancam, seperti Tapir Malaya atau digelar juga sebagai Tenuk Malaysia.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar berkata adalah penting untuk memastikan populasi Tapir Malaya tidak menghadapi nasib yang sama seperti Badak Jawa dan Badak Sumatera yang pupus.

“Ancaman utama terhadap Tapir Malaya atau dikenali sebagai tenuk, cipan, Badak Tampung, Badak Tuli atau Badak Murai adalah kehilangan habitat, fragmentasi hutan dan isu penukaran guna tanah. Tapir sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan juga mangsa jerat yang dipasang oleh pemburu haram hidupan liar.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan lalu dan mempertingkatkan usaha untuk memastikan masalah kepupusan itu tidak berulang. Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan terus menggandakan usaha untuk menjaga dan memulihara Tapir Malaya,” katanya.

Berdasarkan statistik dari Januari hingga Mac 2020, sebanyak 10 kes kematian Tapir Malaya direkodkan akibat menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Trend ini dilihat semakin membimbangkan pada tiga bulan pertama tahun ini, yang mana hanya 12 kes dilaporkan sepanjang tahun sebelumnya.

Sepanjang tempoh 2013 hingga 2019, sebanyak 84 ekor Tapir Malaya mati akibat kemalangan jalan raya.

Dr Shamsul turut berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya hidupan liar termasuk memasang jalur rentas kuning, solar amber light dan papan tanda lintasan hidupan liar di beberapa lokasi dikenal pasti.

Selain itu, aspek pemuliharaan habitat Tapir Malaya juga diberi tumpuan dengan mewujudkan kawasan perlindungan dan rangkaian koridor ekologi, antaranya program konservasi In-Situ dan Ex-Situ, selain membangunkan Pelan Konservasi Tapir Malaya 2020-2030 (MaTCAP) bagi meningkatkan pengurusan Tapir Malaya di negara ini.

Kesemua empat-empat spesis tapir di seluruh dunia kini mengalami ancaman kepupusan. Oleh itu, melindungi tapir membantu untuk menyelamatkan hutan hujan dan habitat lainnya, dengan ini turut membantu menyelamatkan planet ini dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *