Kluster baharu dikesan di Sabah, kes COVID-19 tanpa gejala awal paling tinggi dicatatkan

  • By Wendy. V
  • April 23, 2020
  • 0
  • 404 Views

Krisis pandemik COVID-19 di dalam negara semakin beransur pulih, berdasarkan kes yang dijangkiti COVID-19 menunjukkan perkembangan positif. Beberapa kawasan di seluruh negara juga sudah mencatatkan kes sifar dan mula ditandakan sebagai zon hijau.

Namun begitu, di Sabah wujud satu kluster baharu COVID-19 yang dikesan membabitkan staf petugas kesihatan sendiri dari tiga buah hospital di Sabah. Turut memburukkan lagi keadaan, kebanyakan kes yang dilaporkan juga adalah kes sporadik yang berlaku di beberapa daerah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster petugas kesihatan itu membabitkan tiga hospital di bawah kementerian iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas dan Hospital Keningau.

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif pada 2 April bagi seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Beliau didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari berkenaan. Siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan terbabit sudah dijalankan. Jangkitan COVID-19 ini didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga,” katanya.

Perkara ni turut disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Christina Rundi bahawa jangkitan tersebut bukan berasal dari dalam wad mahupun dalam proses pengendalian pesakit COVID-19. Oleh demikian, siasatan pihak kesihatan mendapati tiada jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota kesihatan pakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa bertugas.

Kemudian pada 18 April, KKM melaporkan hasil siasatan lanjut dan mendapati bahawa ia kini membabitkan tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas serta Hospital Keningau. Dalam kluster tersebut, terdapat 31 kes dikenal pasti positif. Ia terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.

Dalam masa yang sama, di Sabah juga wujud kes sporadik, yang mana individu tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak ada berhubung dengan kontak rapat COVI-19 tetapi disahkan positif COVID-19.

Menurut Dr Christina, didapati sebanyak 85% atau 249 kes positif COVID-19 yang dilaporkan tidak mempunyai sebarang gejala pada peringkat awal. Keadaan ini  membimbangkan kerana potensi untuk menjangkiti kontak rapat amat tinggi.

Sehingga 21 April, beberapa daerah di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau masih diisythiharkan sebagai zon merah. Justeru itu, kerajaan Sabah memberi penekanan kepada kepentingan kuarantin kepada individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara mahupun dalam negara bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Orang awam perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana dikhuatiri boleh dijangkiti virus tanpa menunjukkan gejala atau simptom awal. Ini adalah lebih berbahaya kerana mereka tidak tahu mempunyai virus tersebut lalu menjangkiti kontak rapat yang lain. Oleh itu, pastikan untuk mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *