Warga netizen tak puas hati, kecam menteri dan pemimpin politik langgar PKP.

  • By Wendy. V
  • April 20, 2020
  • 0
  • 262 Views

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa ketiga dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus mengetatkan lagi penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan COVID-19. Tetapi, masih ada segelintir masyarakat Malaysia yang masih ingkar arahan ini. Apa yang lebih menimbulkan ketidakpuasan hati, golongan politik dan orang kenamaan juga melanggar arahan PKP ini.

Beberapa gambar yang dimuatnaik membabitkan pemimpin parti politik berhimpun serta berkumpul tular di media sosial sehingga menimbulkan kecaman daripada warga netizen. Rata-rata ramai yang kesal dengan golongan atasan ini yang tidak mengamalkan penjarakan sosial dan patuh pada arahan PKP ini.

Kecaman bermula apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memuatnaik ‘posting’ di laman Facebook rasminya menghadiri satu majlis makan beramai-ramai bersama rombongan dan Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Gambar-gambar tersebut didakwa telah melanggar PKP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan dan menunjukkan mereka seolah-seolah kebal daripada undang-undang. Walaupun posting tersebut dipadamkan, tetapi sempat di‘screenshot’ oleh warga netizen lalu menimbulkan suasana kurang enak terhadap para pemimpin politik ini.

Ia mendapat perhatian daripada Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sebarang tindakan ke atasnya, selain menjelaskan sesiapa sahaja tidak terkecuali daripada undang-undang.

Susulan selepas kecaman terhadap Timb. Menteri Kesihatan itu, lebih banyak gambar-gambar pemimpin sama ada daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan parti politik yang melanggar PKP dihantar ke dalam Facebook.

Di Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dikecam kerana mengadakan Sidang Dun Sabah dan dilihat tidak mengikut SOP KKM dan tiada pengawalan orang ramai (crowd control). Selain itu, program anjuran ADUN PKR, YB Roland Chia yang mengadakan pemberian kubis di Pekan Inanam sehingga menyebabkan kesesakan teruk dan penyertaan ramai masyarakat berhimpun turut membangkitkan kemarahan netizen.

Pemberian kubis percuma di Pekan Inanam anjuran ADUN PKR, YB Roland Chia

Para warga netizen juga mengecam tindakan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri yang mengadakan kunjungan ke rumah bekas Menteri Besar Terengganu, YB Dato’ Seri Ahmad Said di Teluk Kalong, Kemaman semasa tempoh PKP. Tweet yang dimuatnaik oleh beliau menimbulkan rasa tidak puas hati dengan tindakannya yang tidak mengikut saranan MKN dan arahan PKP.

Kunjungan makan tengah oleh MB Terengganu

Turut tular di media sosial, tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad yang berkunjung ke rumah rakan politiknya bersama rombongan dan menikmati jamuan makan tengah hari.

Gambar berkenaan dimuatnaik pemilik akaun Facebook Nasarrunddin Zin, dipercayai individu yang menjemput timbalan itu ke kediamannya. Nasarruddin, Ketua UMNO Klang memaklumkan beliau dan rombongannya kemudian mengiringi Abdul Rahman untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat orang Asli.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad bersama rombongan

Arahan PKP tertakluk kepada semua golongan masyarakat. Seperti rakyat biasa yang didenda kerana melanggar PKP, golongan menteri dan pemimpin politik juga tidak terkecuali dari undang-undang. Rakyat belajar contoh dan teladan yang baik dari para pemimpin. Tetapi, jika para pemimpin pun tidak patuh dengan arahan ini, rasanya bagaimana dapat memupuk contoh terbaik buat masyarakat?

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *