Kes COVID-19 mula menurun, langkah diambil Malaysia dianggap berjaya perangi pandemik

  • By Wendy. V
  • April 17, 2020
  • 0
  • 236 Views

Pandemik wabak koronavirus baru telah menimbulkan kekacauan di seluruh dunia. Kerajaan dan organisasi berusaha untuk mengurus dan membendung virus yang membawa maut ini daripada terus merebak. Sehingga 17 April, kes koronavirus telah mencapai sehingga 2,183,581 yang menjangkiti penduduk di seluruh dunia dan lebih 140,000 orang tewas dalam perang melawan wabak ini.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai infrastruktur kesihatan yang kurang memuaskan dan alat kit ujian yang terhad di sesetengah negara, kebanyakan negara di rantau ini menunjukkan kadar kesembuhan yang luar biasa seperti di Kemboja, Vietnam dan Brunei.

Di Malaysia, sebuah negara dengan jumlah penduduk seramai 31 juta orang, lebih daripada 5,000 orang telah dijangkiti COVID-19 dan 84 kematian telah dilaporkan setakat ini. Beberapa minggu yang lalu, negara ini mempunyai jumlah keseluruhan kes tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan kes tiga angka dicatatkan setiap hari.

Walau bagaimanapun, pada 15 April, Malaysia melaporkan 85 kes baru sementara 16 April pula mencatatkan 110 kes, suatu penurunan kes setelah beberapa minggu dengan kes jangkitan yang tinggi. Selain itu, lebih daripada 50 peratus pesakit telah sembuh, yang mana ia adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar jangkitan kes baharu.

Strategi Malaysia dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan nampaknya hampir berjaya setakat ini. Jadi, apa yang dilakukan oleh Malaysia bagi mendatar keluk jangkitan?

Permulaan jangkitan di Malaysia

Virus COVID-19 pertama kali muncul di Malaysia pada 25 Januari. Tiga kes pertama di negara dikaitkan dengan seorang lelaki berusia 66 tahun yang disahkan positif COVID-19 oleh pihak berkuasa Singapura.

Sejak dari itu, jumlah kes yang disahkan di Malaysia terus meningkat, dan dikatakan mempunyai hubungan dengan acara perhimpunan keagamaan yang dianjurkan di Masjid Jamek Sri Petaling, di pinggir bandar Kuala Lumpur. Acara yang dianjurkan oleh gerakan dakwah Islam, Tablighi Jamaat dihadiri oleh kira-kira 16,000 peserta dari seluruh Asia. Dari keseluruhan peserta yang hadir, sejumlah 14,500 adalah rakyat Malaysia manakala yang lain datang dari pelusuk rantau Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan negara lain.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat dari 99 kes pada 8 Mac kepada terus melonjak 200 kes dalam masa kurang dari seminggu berikutan acara perhimpunan agama itu. Negara mencatatkan dua kematian pertama akibat wabak itu pada pertengahan Mac, di mana salah seorang daripada mereka sebelum ini pernah menghadiri acara tabligh di Sri Petaling.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan

Satu kejayaan besar Malaysia membendung penularan wabak COVID-19 adalah melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pelaksanaan PKP pada awalnya mula berjalan sejak 18 Mac hingga 31 Mac.

Tetapi, dengan pertambahan kes dan kebimbangan terhadap penularan baru, kerajaan bertindak melanjutkan perintah tersebut. Kini, negara memasuki fasa ketiga PKP yang berkuatkuasa pada 15 April dan akan berakhir pada 28 April. Dengan lanjutan ini, kerajaan berharap dapat memutuskan rangkaian jangkitan dan mendatarkan keluk jangkitan (flatten the curve).

Sebelum ini, bank pelaburan multinasional dan syarikat induk perkhidmatan kewangan, JP Morgan menyatakan bahawa Malaysia akan menyaksikan lonjakan kes COVID-19 pada pertengahan April. Terdapat kemungkinan bahawa gelombang ketiga jangkitan akan muncul oleh pihak berkuasa dan orang awam.

“Kami menjangkakan jankitan COVID-19 mencapai puncak pada pertengahan April dengan sekitar 6,300 kes,” kata JP Morgan berdasarkan ramalannya pada tiga faktor utama; populasi sampel, kadar jangkitan sekunder dan andaian kematian.

“Kami percaya tindakan kerajaan adalah terbukti efektif dalam membendung penularan dan intensiti epidemik. Kadar kematian di Malaysia masih rendah,” katanya lagi.

PKP dilaksanakan dengan sangat tegas terhadap rakyat Malaysia dengan terbukti apabila lebih 9,000 orang telah ditangkap kerana melanggar arahan PKP sehingga 16 April. Sekatan jalan telah dilaksanakan di seluruh negara dan larangan juga dilaksanakan untuk semua jenis kenderaan termasuk e-hailing, dari jam 10 malam hingga 6 pagi setiap hari.

Kerajaan tidak akan berkrompomi terhadap pelanggaran PKP dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu bersalah yang melanggar perintah tanpa alasan munasabah, melalui ucapan yang disampaikan oleh menteri Ismail Sabri Yaakob kepada media Malaysia.

Selain itu, sebarang jenis perjumpaan atau perhimpunan turut dilarang dan ini termasuklah pembatan bazar Ramadhan yang biasanya ditunggu-tunggu oleh seluruh masyarakat sepanjang bulan puasa.

Saringan ujian COVID-19 yang meluas

Malaysia turut mengambil pendekatan dengan mencontohi model Korea Selatan untuk mengambil ujian kepada semua orang. Dengan ujian COVID-19 terhadap orang awam, akan dapat mengesan kes positif lebih awal dan membantu mengurangkan penularan COVID-19.

Media tempatan melaporkan bahawa kapasiti ujian COVID-19 dilakukan oleh Malaysia pada masa ini berjumlah 11,500 sampel sehari dan dijangka akan meningkat dengan penambahan lima makmal ujian baharu. Ini menjadikan terdapat sebanyak 48 kemudahan ujian di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan makmal dengan mengubah strategi dengan menjalankan ujian antibodi (serologi) dan bukannya ujian reaksi polymerase berantai (PCR) untuk mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 dan telah dikuarantinkan.

Peranan media sosial

Sesetengah pihak juga cuba mengambil langkah menggunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat tentang COVID-19. Pihak media seperti televisyen, radio dan akhbar untuk menguar-uarkan tentang kepentingan penjarakan sosial dan kempen ‘duduk di rumah’ supaya masyarakat lebih peka terhadap arahan kerajaan.

Satu laman web digelar #KitaJagaKita turut disediakan yang membolehkan orang awam memberikan sumbangan wang ringgit dan bantuan tangan kepada petugas barisan hadapan serta yang memerlukan ketika krisis sekarang ini.

Walaupun masyarakat diarah untuk menjarakkan diri, tetapi pandemik COVID-19 telah membawa masyarakat Malaysia menjadi lebih rapat dan bekerjasama – tidak kira sama ada kerajaan, petugas hadapan, aktivis dan orang awam dalam usaha memerangi virus COVID-19.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *