Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham dijolok antara 3 doktor terbaik dunia dalam usaha perangi COVID-19

  • By Wendy. V
  • April 16, 2020
  • 0
  • 254 Views

Datuk Dr Noor Hisham adalah antara individu yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia sejak isu COVID-19 mula hangat diperkatakan. Beliau adalah individu yang ditunggu-tunggu di kaca televisyen untuk menyampaikan perkembangan semasa kes COVID-19 di seluruh negara.

Penyampaiannya yang teliti dan telus ketika menjawab setiap persoalan daripada pihak media membuatkan ramai yang sangat menghormati Dr Noor Hisham. Selain itu, maklumat yang diberikan mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat berhubung wabak ini.

Susulan komitmen beliau dalam usaha memerangi wabak COVID-19, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah dijolok sebagai antara doktor terbaik dunia oleh satu stesen TV China.

China Global TV Network (CGTN) telah menyenaraikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang tampil dari kalangan pegawai kesihatan awam dalam usaha dan komitmen mereka menangani penularan wabak COVID-19.

Selain Dr Noor Hisham, CGTN turut menyenaraikan Dr Anthony Fauci, iaitu seorang pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS) dan Ashley Bloomfield, Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand.

Menurut laporan CGTN, ketiga-tiga mereka dipuji masyarakat sejak beberapa minggu lalu, mengetengahkan penampilan yang tenang, dipercayai dan meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pandemik ini.

CGTN turut memaklumkan bahawa mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

“Di tengah pandemik global yang tidak pernah dialami sebelum ini, ketika kerajaan di serata dunia kadang kala lambat bertindak atau memperkenalkan langkah yang mengelirukan serta menghantar mesej bercelaru, Dr Fauci, Dr Bloomfield dan Dr Hisham menjadi suara yang bermakna, menenangkan dan meyakinkan,” lapor CGTN.

Dr Noor Hisham, 57, yang telah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia. Hal ini disebabkan oleh beliau sering memberikan maklumat terkini mengenai COVID-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta yang diperakui serta sumber yang berkredibiliti untuk disampaikan kepada masyarakat. Beliau sentiasa mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.

CGTN berkata penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Dr Noor Hisham manakala Bloomfield disifatkan sebagai kakitangan awam paling secocok bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dr Noor Hisham mempunyai kelulusan dalam ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mula menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.

Beliau kemudian memilih bidang kepakaran dalam surgeri endokrin dan menjalani latihan di pelbagai universiti termasuk di Adelaide dan Sydney, Australia selain menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa dan tempatan serta menulis kandungan buku teks berhubung surgeri endokrin.

Sessungguhnya, rakyat Malaysia perlu berbangga kerana mempunyai seorang pakar seperti Dr Noor Hisham ini yang begitu berusaha dan kerja keras untuk memerangi penularan wabak pandemik di dalam negara. Beliau bukanlah ahli politik, tetapi tampil sebagai individu yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang kesihatan awam. Semoga pandemik COVID-19 akan cepat reda dengan kerjasama semua pihak termasuk barisan hadapan, menteri, kerajaan dan masyarakat.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *