Malaysia nafi pengusiran pekerja asing, masuk negara tanpa kebenaran

Malaysia menafikan dakwaan yang dibuat bahawa kononnya beribu pekerja asing dari Indonesia yang dipaksa untuk meninggalkan negara ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan. Dakwaan itu dibuat oleh Migrant Care (Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat) bahawa Malaysia mengusir pekerja asing warga Indonesia secara beramai-ramai sepanjang tempoh perintah.

Sehubungan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kenyataan daripada organisasi tersebut yang mendakwa kerajaan Malaysia telah mengusir rakyat Indonesia di saat tempoh PKP sebagai langkah mengurangkan penularan wabak koronavirus sebagai “tidak benar dan tidak bertanggungjawab”.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Migrant Care juga telah dinafikan oleh pihak berkepentingan dan kerajaan Indonesia sendiri. Malahan, rakan sejawat beliau yang juga Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memaklumkan memang terdapat sekumpulan rakyat Indonesia yang pulang ke republik, namun tidak mentakrifkannya sebagai suatu pengusiran.

Selain itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah juga telah menjelaskan bahawa kepulangan rakyat Indonesia itu bukan kerana mereka diusir, tetapi kerana memasuki Malaysia tanpa kebenaran sebelum krisis COVID-19.

Menurut Hishammuddin, hubungan antara beliau dan rakan sejawatnya cukup akrab, malah Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia.

Pada minggu lalu, CEO Migrant Care, Wahyu Susilo dipetik oleh akhbar tempatan mengatakan bahawa lebih kurang 21,000 pekerja asing Indonesia telah diusir keluar oleh pihak berkuasa Malaysia. Wahyu telah meminta kerajaan Indonesia supaya membantah pengusiran besar-besaran ini kerana ia berpotensi untuk menyebarkan virus COVID-19.

Kenyataan itu dibalas oleh Teuku Faizasyah yang menjawab bahawa istilah “pengusiran besar-besaran” itu adalah tidak tepat kerana ia melibatkan perbezaan pendapat tentang peraturan imigresen sebelum COVID-19. Ia juga melaporkan bahawa kehidupan para pekerja asing Indonesia di Malaysia turut terjejas akibat lanjutan PKP.

Berdasarkan laporan The World Bank, warga Indonesia terdiri daripada 40% daripada jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia, diikuti oleh Nepal (22%) dan Bangladesh (14%) yang bekerja di beberapa sektor di Malaysia.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *