Kadar keganasan domestik di Malaysia meningkat sepanjang tempoh PKP

Sedang kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat beberapa panggilan yang dibuat ke satu pertubuhan hak-hak wanita bukan kerajaan (NGOs) untuk seketika ini sepanjang tempoh PKP. Jika diteliti, ini membuktikan wujudnya kes keganasan domestik yang dilakukan sepanjang PKP dijalankan, di mana semua individu berada di rumah.

Tan Heang-Lee iaitu pegawai advokasi di Women’s Aid Organisation (WAO), telah berkongsi statistik mereka, di mana menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 14 peratus terhadap talian hotline dan pertanyaan di WhatsApp yang melaporkan keganasan domestik sejak bermulanya PKP.

Berdasarkan statistik tersebut, dari 1 hingga 17 Mac, iaitu sebelum bermulanya pelaksanaan PKP di negara ini, WAO hanya menerima purata 10.5 panggilan dan pertanyaan sahaja setiap hari. Ini dibandingkan pula sepanjang tempoh PKP, bermula 18 sehingga 31 Mac, jumlah panggilan yang diterima meningkat kepada purata 12 panggilan serta pertanyaan dalam sehari.

Inilah yang menjadi kerisauan kepada NGO tersebut berhubung peningkatan risiko keganasan, kerana kebanyakan mangsa keganasan ini tidak mampu untuk mendapatkan pertolongan atau lari daripada pendera mereka di saat krisis wabak sekarang ini.

Selain efek terhadap mental, emosi dan kesihatan yang boleh dilihat ketara semasa tempoh PKP, ianya juga berbahaya kerana turut menjejaskan kestabilan kewangan hidup kepada si mangsa ini.

Sebilangan daripada mangsa dera ini yang tidak dapat bekerja sepenuhnya semasa tempoh PKP dijalankan kerana perlu mematuhi arahan-arahan PKP, kemungkinan tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa untuk bergantung kepada pendera mereka dari segi kewangan untuk meneruskan kehidupan.

“Sejumlah 20 orang bekas penghuni di tempat perlindungan WAO bagi orang yang mengalami keganasan domestik, 30% tidak dapat bekerja disebabkan PKP, 25% masih mencari pekerjaan, manakala 5% dikurangkan gaji mereka,” menurut Tan Heang-Lee.

Sementara itu, mangsa yang berjaya keluar daripada keganasan domestik sebelum ini dilihat juga bertempur dengan diri mereka sendiri, untuk kembali menguatkan diri mereka serta menjadi lebih berdikari dalam menjalani kehidupan di saat yang normal. Jadi, bayangkan pula cabaran yang perlu mereka lalui sepanjang tempoh pandemik apabila isu kewangan menjadi sangat terhimpit kepada semua orang.

Persatuan All Women’s Action Society (AWAM) memaklumkan selain panggilan kecemasan dan pertanyaan berkaitan keganasan, bentuk panggilan yang lainnya juga termasuk mangsa yang hanya mahu berkongsi tentang perasaan mereka tentang ketidakupayaan dan kekecewaan mereka sepanjang tempoh PKP.

Bagi Pengurus Operasi dan Program AWAM, Nisha Sabanayagam berkongsi bahawa jenis panggilan sebegini memang dijangka semasa tempoh PKP dan para kaunselor semua bersedia untuk membantu setiap mangsa-mangsa ini.

Dengan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April, komuniti amat memainkan peranan untuk membantu dan melindungi mereka yang terdedah kepada serangan keganasan ini. Laporkan segera sebarang isu jika anda mengesyaki sama ada jiran, kawan, atau ahli keluarga anda sendiri berada dalam bahaya. Golongan ini amat memerlukan pertolongan bukan sahaja dari segi kewangan, malahan emosi mereka juga perlu dibantu dalam menangani tempoh genting sebegini.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *