“Fire Snail”, siput terbesar yang hanya boleh dijumpai di banjaran hutan gunung Malaysia sahaja

Malaysia sememangnya beruntung kerana terletak di garisan Khatulistiwa, dengan keadaan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Bukan itu sahaja, hutan hujan tropika di Malaysia juga dikatakan lebih tua berbanding hutan hujan di Amazon.

Malah, hutan hujan Malaysia menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi flora dan fauna dari sekecil-kecil organisma mikroskopik dan bakteria hinggalah kepada spesies-spesies besar seperti mamalia, ikan dan burung.

Hingga kini lebih kurang 17,631 spesies tumbuhan telah direkodkan. Spesies fauna yang direkodkan meliputi 480 mamalia, 742 burung, 242 amfibia, 567 reptilia, 590 ikan air tawar, 1,967 kupu-kupu dan 1,073 kumbang daun.

Terdapat satu spesies yang hanya boleh didapti di satu kawasan tertentu sahaja – digelar spesies endemik, contohnya iaitu “fire snail”.

Nama saintifik siput ini ialah Platymma tweediei, dan ianya digelar sebagai “fire snail” kerana warna di bahagian tapaknya. Siput ini dikatakan juga sebagai siput tanah (land-snail) asli terbesar yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia secara semula jadi. Bahagian cangkerangnya boleh membesar sehingga mencapai diameter 7 cm, yang boleh membuatkan orang yang melihatnya berasa gerun!

Siput ini menjadikan kawasan banjaran hutang gunung dengan suhu dingin sebagai tempat tinggal mereka. Pertama kali diterokai di Lembah Telom di Cameron Highland pada tahun 1938 oleh seorang warga Inggeris bernama Tomlin. Sejak itu, ianya direkodkan di Temenggor (80 km utara dari Telom) dan Kelantan (100 km utara-timur dari Telom).

Siput ini dikatakan hanya tertumpu di kawasan hutan montane, sekurang-kurangnya 1000m dari paras laut. Oleh itu, mungkin ini adalah sebab “fire snail” ini sukar dijumpai.

Tidak banyak yang diketahui mengenai siput ini kecuali melalui penulisan saintifik. Malahan, species ini juga tidak termasuk dalam senarai database IUCN – yang menyenaraikan spesies yang terancam.

Disebabkan siput ini hanya mendiami kawasan tertentu iaitu persekitaran dingin dan lembap, spesies ini terancam kepada kepupusan dan kebolehan untuk terus hidup dalam jangka masa panjang.

Melalui kajian yang dijalankan, Malaysia dianggarkan telah kehilangan 23% hutan atas sehingga tahun 2014. Antara punca penyebabnya ialah, pencerobohan untuk pertanian, pembalakan komersil serta pembangunan infrastruktur dan pelancongan.

Perluasan tanah untuk agrikultur dan kemajuan pembangunan, juga menyebabkan peningkatan penggunaan bahan tercemar seperti baja dan racun perosak yang boleh mengancam organisma seperti “fire snail” ini.

Kesan daripada pembersihan hutan ini menyebabkan berlakunya “heat island effect”, dimana perbezaan suhu dan kelembapan antara kawasan hutan dan bukan hutan. Ini menyebabkan haiwan yang bergantung kepada suhu lembap ini akan mati dan pupus.

Penyelidikan lebih teliti perlu dijalankan untuk menjaga kelangsungan hidup spesies siput ini. Masyarakat perlu dididik agar lebih matang dalam pengetahuan terhadap spesies endemik yang terancam oleh kepupusan.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *