Endah Perintah Kawalan Pergerakan, rupanya tiada wang dan bekalan makanan di rumah.

  • By Wendy. V
  • March 27, 2020
  • 0
  • 299 Views

Dikala banyak negara melaksanakan perintah berkurung atau ‘lockdown’ sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pada awalnya berlangsung selama dua minggu, kini dilanjutkan sehingga sebulan. Tempoh PKP bermula sejak 18 Mac sehinggalah 14 April 2020.

Perintah ini telah mengehadkan banyak operasi dan perniagaan, dengan hanya perkhidmatan yang berkeperluan sahaja dibenarkan beroperasi. Sungguhpun perintah yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini merupakan usaha yang patut dipuji, namun secara tidak langsung telah menjejaskan ekonomi terutamanya golongan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil-kecilan.

Di Johor Bahru, pasangan suami isteri bersama seorang anak mereka kelihatan berada di taman permainan walaupun semua masyarakat diarahkan untuk terus berada di rumah sekiranya tidak mempunyai tujuan yang jelas.

Dua orang pegawai polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang melancarkan rondaan Op Covid-19 di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru ini telah mendekati pasangan tersebut dengan memberi nasihat supaya akur dengan PKP serta meminta keluarga tersebut pulang ke rumah.

Si isteri menangis dan memaklumkan bahawa mereka tiada wang dan bekalan makanan di rumah. Pasangan keluarga ini menetap dengan menyewa sebuah bilik. Si suami telah berhenti kerja sambilan di Singapura kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah. Manakala, si isteri seorang tukang cuci di kawasan Larkin dan kini dicutikan atas faktor perintah oleh kerajaan.

Pasangan keluarga ini telah dibantu oleh dua orang pegawai polis ini dengan membelikan barangan runcit serta keperluan bantuan susu untuk anak pasangan keluarga terbabit. Cerita ini telah mendapat perkongsian yang tinggi serta tular di laman sosial. Pujian turut diberikan kepada kedua-dua pegawai polis tersebut.

Ini merupakan senario yang jarang diketahui oleh orang awam, namun percayalah masih ramai golongan-golongan berpendapatan rendah dan bergantung kepada gaji harian yang tidak diketahui nasib mereka.

Kini, kerajaan Malaysia mengumumkan pelbagai bentuk tindakan bagi membantu meringankan beban rakyat di saat krisis melanda dunia ini. Harapnya, lebih ramai nasib yang akan terbela dan negara segera pulih dari pandemik koronavirus.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *