Malaysia import 10 juta topeng muka untuk diagihkan kepada petugas

  • By Wendy. V
  • March 24, 2020
  • 0
  • 231 Views

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk mengimport kira-kira 10 juta keping topeng muka yang akan diagihkan kepada seluruh rakyat yang memerlukan terutamanya petugas-petugas untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selagi tahap bekalan topeng muka oleh pengeluar tempatan di negara ini tidak mencapai tahap yang memuaskan, langkah mengimport topeng muka dari China adalah suatu yang perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan domestik negara ini.

“Kita akan usahakan untuk mengimport topeng muka dengan kadar segera. Semalam saya arahkan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), supaya mereka keluarkan peruntukan yang disediakan kerajaan, harga saya diberitahu lebih RM1.18 sen sekeping,” katanya dalam Sidang Media Khas Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada 23 Mac 2020.

Berhubung harga siling untuk topeng muka, Muhyiddin menjelaskan harga kawalan perlu diteliti supaya tidak terlalu tinggi, apatah lagi dalam keadaan negara yang masih berdepan dengan penulatan wabak COVID-19.

Tambahnya, beliau telah arahkan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadilah  Yusof, bersama-sama dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi untuk berbincang dengan pengeluar.

“Pengeluaran kapasiti topeng untuk negara ini saya dimaklumkan 2 atau 3 juta keping setiap bulan. Saya berharap agar pengeluar tempatan dapat terus menghasilkan topeng muka secara mencukupi walaupun mereka mempunyai sedikit masalah mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara luar. Tambahan pula, pengeksportan topeng ke luar negara tak dibenarkan,” ujarnya.

Berdasarkan perkongsian di Twitter, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, harga topeng muka setakat ini menunjukkan perubahan harga kawalan antara 6 Mac 2020 dan 22 Mac 2020.

Harga runcit bagi topeng muka (perubatan/pembedahan) gelung telinga dan kepala tiga lapisan meningkat daripada RM 0.80 kepada RM 2.00. Harga borong pula meningkat daripada RM 25 kepada RM 75 sekotak, tiga kali ganda berbanding harga pada 6 Mac 2020.

Terdahulu pada 22 Mac 2020, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak bersetuju dengan peningkatan harga kawalan topeng muka kepada RM 2 sekeping. Ia dilihat terlalu tinggi dan tidak sepatutnya menjadi isu kerana pihak kastam sudah bersetuju hapuskan duti import untuk pembelian topeng muka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut menyarankan supaya individu yang sihat tidak perlu memakai topeng muka, tetapi perlu memastikan penjarakan sosial ketika wabak Covid-19. Jelasnya, nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya pakai topeng apabila mempunyai gejala pernafasan, atau menjaga pesakit Covid-19 dan sekiranya bekerja di kawasan hospital.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *