Malaysia catatkan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dikaitkan dengan acara “tabligh”

  • By Wendy. V
  • March 17, 2020
  • 0
  • 227 Views

Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak jumlah positif COVID-19 dengan 190 kes terbaharu dicatatkan pada Ahad lalu. Dengan mencatatkan jumlah 428 kes positif COVID-19 secara keseluruhan, Malaysia mendahului negara Asia Tenggara yang lain dengan kes tertinggi bagi jangkitan koronavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu itu adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling itu dianjurkan pada 27 Februari sehingga 1 Mac. Ia menarik lebih 16,000 peserta yang menghadiri acara tersebut termasuk dari negara luar seperti Australia, Brunei, Kanada, Filipina, India, Indonesia, Afrika Selatan, New Zealand, Tunisia, Thailand, Vietnam, Kemboja, China, Jerman, Singapura, Arab Saudi, Korea Selatan, Bangladesh, Myanmar, Mesir, Tanzania, Gambia, Jepun, Kyrgyzstan, Turki, Amerika Syarikat dan Afghanistan.

Setakat ini, tidak dapat diketahui bagaimana jangkitan itu bermula, namun jangkitan dapat dikesan setelah salah seorang peserta telah disahkan kes positif COVID-19 di Brunei.

Enam kes melibatkan rakyat Malaysia dikaitkan dengan acara tersebut. Kajian KKM mendapati 6 kes Malaysia yang berkaitan dengan acara itu – tiga di Negeri Sembilan, satu di Tawau, Sabah, satu di Johor dan satu di Pahang.

Kes Negeri Sembilan melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan seorang pelajar di Korea Selatan dan bekerja sebagai ejen pelancong bebas. Beliau pulang dari Korea Selatan pada 22 Feb, menghadiri acara tabligh itu dari 27 Feb hingga 1 Mac dan mengalami simptom-simptom pada 3 Mac. Dia ke luar negara sekali lagi pada 4 Mac dan kembali ke Malaysia.

Sementara itu, Sabah mencatatkan kes pertama di Tawau melibatkan lelaki berusia 58 tahun yang menghadiri acara tabligh itu. KKM giat mengesan kira-kira 350 orang dari Tawau yang dipercayai menghadiri acara itu.

Dr Adham berkata, penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh giat diteruskan. Sehubungan itu, beliau menyeru agar peserta perhimpunan tabligh tampil menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya. 

“Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif COVID-19, pesakit di bawah pemantaun (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke dalam hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah akta yang sama,” katanya.

Setakat 16 Mac, sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553. Sejumlah 95 daripada 125 kes baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *