COVID-19: Malaysia laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan

  • By Wendy. V
  • March 17, 2020
  • 0
  • 491 Views

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19. Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Pengumuman perdana menteri itu disiarkan secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial malam ini. Muhyiddin berkata perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 pada Isnin malam.

Sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.

Muhyiddin berkata Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Bagi menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian, katanya.

Muhyiddin berkata berikutan perintah larangan itu juga, semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti ditutup bagi tempoh yang sama. Ia juga melibatkan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara, katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan itu juga melibatkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari. Kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke negara ini juga akan disekat.

Muhyiddin berkata selain itu semua premis kerajaan dan swasta ditutup kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara. Ia meliputi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” kata beliau.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk penutup mulut dan hidung adalah mencukupi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah diarahkan agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa.

Muhyiddin berkata beliau akan mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19 dan perkembangan situasi wabak itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat dan sehubungan itu tindakan drastik ini perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak itu dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

“Saya merayu kepada semua agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

“Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat,” katanya.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak itu.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *