Mahkamah Tinggi putus Sabah, Sarawak boleh kenakan cukai jualan ke atas produk petroleum

  • By Wendy. V
  • March 13, 2020
  • 0
  • 191 Views

Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah perlembagaan persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

Hakim Azahari Kamal Ramli menolak pemohonan Petronas untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan cukai jualan Sarawak tidak sah dan terbatal.

Petronas mendakwa bahagian tertentu Ordinan Cukai Jualan 1998 negeri itu, yang menghendaki syarikat minyak negara membayar 5% cukai jualan ke atas produk petroleum kepada Sarawak bercanggah dengan perlembagaan.

Peguam Petronas, Malik Imtiaz Sarwah berhujah bahawa atas sebab itu notis taksiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak kepada Petronas bagi mendapatkan cukai ke atas produk petroleum adalah tidak sah.

“Kuasa untuk mengenakan cukai jualan hanya terpakai ke atas perkara yang terdapat dalam senarai negeri, sedangkan petroleum berada dalam senarai persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun Azahari berkata, kuasa negeri untuk membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan berpunca daripada Perkara 95B (3) perlembagaan. Katanya, tidak disebut bahawa kuasa itu terbatas kepada perkara yang terdapat dalam senarai negeri. Notis taksiran itu juga dikeluarkan secara sah oleh pengawal cukai jualan negeri.

“Defendan pertama (pengawal cukai jualan negeri) juga bertindak secara munasabah ketika mengeluarkan notis tersebut kerana pemohon membuat pendirian bahawa ia tidak boleh dicukai dan gagal menyerahkan taksiran cukai seperti dikehendaki oleh defendan pertama,” katanya.

Justeru Azahari berkata, semakan kehakiman, termasuk permohonan penangguhan adalah ditolak dengan kos RM50,000 kepada responden tertakluk kepada pembayaran fi alokatur.

Pegawai undang-undang Sarawak, JC Fong berkata, beliau berharap Petronas akan menerima keputusan itu dan tidak memfailkan rayuan terhadapnya.

Saya berharap Petronas bersama-sama Petros dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi merangsang industri minyak dan gas yang kini berdepan cabaran susulan harga minyak dan pemintaan dunia lebih rendah,” katanya ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuching di sini, hari ini.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai “kemenangan” bagi negeri.

“Kita harap Petronas akan membayar cukai jualan kepada negeri, Ini hak perlembagaan kita. Kita mempunyai hak di bawah perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk mengenakan cukai jualan (ke atas produk petroleum).

“Susulan penolakan semakan kehakiman hari ini, peluang kita dalam saman sivil adalah lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu Malik berkata, beliau telah memberitahu Petronas mengenai keputusan itu dan mereka akan mengkaji isu berkenaan sekali lagi sebelum membuat perbincangan lanjut mengenainya.

“Buat masa ini kami menerima arahan mengenai perkara ini dan kita lihat perkembangan berikutnya,” katanya.

Sarawak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum pada 1 Jan tahun lepas di bawah Ordinan Cukai Jualan 1998 negeri. Ia juga memfailkan saman terhadap Petronas bagi mendapatkan hasil cukai negeri yang tidak dibayar serta penalti berjumlah RM1.3 bilion.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *