Pengguguran kes LTTE akan disemak semula

  • By Wendy. V
  • March 12, 2020
  • 0
  • 170 Views

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan untuk menyemak semula keputusan bekas Peguam Negara yang tidak meneruskan prosiding perbicaraan terhadap 12 individu dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau akan berbincang berhubung perkara itu dengan pegawai tertinggi sama ada dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KDN.

“Isu terrorisme bukan hanya masalah dalam negara, tetapi juga di seluruh dunia. Jika perlu, kita ambil tindakan tegas yang sewajarnya mengikut undang-undang dan perlembagaan sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Anugerah Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan kumpulan LTTE. Thomas menjelaskan keputusan beliau meng-gugurkan kesemua 34 pendakwaan terhadap kesemua 12 tertuduh dikaitkan dengan LTTE setelah membuat keputusan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mereka.

Seramai 12 individu ditahan polis pada 29 Oktober tahun lalu dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012. Antara 12 individu ditahan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jata, P Gunasekaran dan ADUN Gadek, G Saminathan.


Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *