Desakan kuat agar Dr Dzulkefly kembali sebagai Menteri Kesihatan

Beberapa pihak termasuk daripada kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Dr Dzulkefly Ahmad kembali memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan.

Ketika ditanya berhubung perkara berkenaan, pemimpin Amanah itu enggan memberi respon lanjut.

“Saya mahu menunggu surat rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang maklum balas. Saya perlu melihat terma dan syarat terlebih dahulu, sama ada ia benar-benar ‘khidmat negara’. Pertaruhannya juga tinggi untuk saya,” katanya dalam mesej WhatsApp, hari ini.

Dzulkefly, yang merupakan pengarah strategi Amanah, berkata demikian selepas ditanya mengenai cadangan agar beliau kembali ke kabinet, terutamanya dengan wabak Covid-19 yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini cadangan itu hanyalah khabar angin dan dia tidak pernah mendengar cadangan rasmi. Malaysia kini tidak mempunyai menteri, termasuk di Kementerian Kesihatan.

Krisis kemelut politik minggu lalu menyaksikan pembentukan kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional. Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin belum lagi menubuhkan kabinet barunya.

Prestasi Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini mendapat pujian, terutama dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini. Negara berdepan gelombang kedua penularan Covid-19 selepas jumlah kes yang disahkan di negara ini baru-baru ini melonjak kepada 55 kes.

Bekas senator Umno, Khairul Azman Harun berkata, bahawa prestasi Dzulkefly mungkin lebih baik berbanding menteri sebelumnya di Kementerian Kesihatan sekiranya beliau berkhidmat lebih lama. Khairul kemudian menyatakan harapannya agar Muhyiddin melantik semula Dzulkefly memegang jawatan itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng juga menggesa Muhyiddin untuk melantik semula Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan. Ahli Parlimen PKR itu menyifatkan bahawa Dzulkefly, yang memegang PhD dalam Toksikologi, memainkan peranan penting dalam menyediakan kepimpinan yang sangat diperlukan dalam respons awal terhadap wabak Covid-19.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *