COVID-19: Malaysia catat tiga kes baru dalam tempoh 24 jam

  • By Wendy. V
  • February 28, 2020
  • 0
  • 67 Views

Malaysia mencatatkan tiga kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam, setelah tidak ada kes baru dilaporkan lebih seminggu lalu. Ianya membabitkan seorang wanita Malaysia, wanita warganegara Jepun dan seorang warga Itali, seperti dilaporkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata wanita warga Malaysia, 53 tahun itu menjadi mangsa ke-23 setelah berkunjung ke Jepun dan mengalami demam sebaik tiba di Malaysia pada 23 Februari dan kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Dia diuji positif untuk Covid-19 pada 27 Februari.

Petang tadi, Noor Hisham mengumumkan dua lagi kes – satu melibatkan seorang warganegara Jepun berusia 41 tahun (pesakit ke-24) yang bekerja di Malaysia dan seorang lagi adalah warga Itali berusia 54 tahun (pesakit ke-25) yang berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia.

Wanita Jepun itu berkunjung ke Jepun bulan lalu dan ke Indonesia bulan ini. Noor Hisham berkata pesakit Jepun itu demam dan mendapatkan rawatan pada 17 Februari. Dia ditahan di sebuah hospital swasta pada 20 Februari.

“Ujian Covid-19 dijalankan dan dia disahkan positif pada 27 Februari Dia kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi pesakit Itali itu pula, Noor Hisham berkata, lelaki itu ke Itali untuk urusan kerja dari 15 hingga 21 Februari. Dia mula mendapat gejala itu pada 22 Februari dan mendapatkan rawatan pesakit luar selama tiga hari berturut-turut mulai 23 hingga 25 Februari. Ujian Covid-19 ke atasnya didapati positif hari ini.

“Dia kini ditahan di wad pengasingan Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemerhatian,” katanya.

Sehingga semalam, Malaysia tidak mempunyai sebarang kes baru Covid-19 sejak 15 Februari.

Kedua-dua negara, Jepun dan Itali teruk terjejas dengan wabak Covid-19. Itali telah mencatatkan 650 kes manakala Jepun mencatatkan 186 kes. Indonesia pula mendakwa ia tidak mempunyai sebarang kes.

Di peringkat global, Covid-19 kini menjangkiti seramai 83,272 orang dan menyebabkan 2,858 kematian.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *