RM400 juta untuk baik pulih sekolah usang di Sarawak

  • By Wendy. V
  • February 20, 2020
  • 0
  • 76 Views

Peruntukan RM400 juta pada tahun 2020 yang dikhaskan bagi membiayai projek sekolah usang di Sarawak tidak harus digunakan untuk membina sekolah baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bahawa menambah peruntukan ini tidak boleh digunakan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah dengan tujuan semata-mata untuk membina sebuah sekolah baharu seperti yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun lepas.

“Semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Kewangan telahpun disempurnakan dan tertakluk kepada agensi teknikal yang berkenaan untuk melaksana dan menyegerakan kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lim berkata, Kementerian Kewangan mengesahkan penerimaan pembayaran kedua bayaran balik pinjaman sebanyak RM350 juta daripada kerajaan negeri Sarawak pada 6 Februari 2020.

“Saya telah mengarahkan supaya peruntukan pembayaran kedua RM350 juta yang baharu ini bagi pelaksanaan sekolah usang Fasa II disalurkan secepat mungkin kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” tegas beliau.

Merujuk kepada status pembinaan 37 buah sekolah tersebut, beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 21 buah sekolah sudah ditender dimana enam projek dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

Antara enam sekolah terbabit, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin Meradong, SK Abun Matu (Belaga), SK Melugu (Sri Aman), SK Nanga Tada (Kanowit), SK Nanga Machan (Kanowit) dan SK Grogo (Bau).

Bagi dua projek berkenaan iaitu SK Abang Amin dan SK Abun Matu, ia telah memulakan kerja-kerja di tapak pada 13 Februari 2020, ujarnya.

Lim berkata, bagaimanapun 15 buah lagi sekolah yang telah ditender akan dimuktamadkan pada 21 Februari 2020.

Dalam pada itu, 16 lagi buah sekolah daripada 37 sekolah, ditangguhkan bagi membolehkan KPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek.

“Dijangkakan pelaksanaan sekolah ini akan di tender pada Mac 2020.

“Penangguhan ini juga disebabkan cadangan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah rendah untuk membuka sebuah sekolah baharu, yang tidak dipersetujui oleh MOF dan Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Beliau memberitahu, cadangan penggabungan ini dikhuatiri akan melibatkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan penempatan komuniti setempat untuk membina sekolah di lokasi baru yang lebih jauh.

Katanya, keadaan itu mungkin akan menyebabkan keciciran pelajar atas faktor jarak yang lebih jauh serta kos pengangkutan yang tinggi untuk pelajar tiba di sekolah. 

“Oleh itu, cadangan penutupan sekolah ini tidak dipersetujui dan harus digunakan untuk memperbaiki sekolah sedia ada tanpa mengurangkan bilangan sekolah,” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *