Kanak-kanak 6 tahun dilarikan, selamat ditemui semula

  • By Wendy. V
  • February 17, 2020
  • 0
  • 75 Views

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami detik cemas apabila hampir tiga jam dilarikan seorang lelaki di Chabang Tiga, Kampung Kemubu pada 7.45 pagi tadi.

Walau bagaimanapun, mangsa ditemui selamat setelah ditinggalkan di belakang sebuah pasar raya berdekatan Kok Lanas, Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mat Piah berkata kanak-kanak itu ditemui pada 10 pagi setelah suspek berumur 40-an itu meninggalkannya kepada seorang peniaga gerai di situ yang kemudian bertindak menghubungi polis.

“Suspek tinggalkan mangsa dan memberitahu kepada peniaga itu bahawa ibu kanak-kanak terbabit akan mengambilnya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom ke Sekolah Peringkat negeri Kelantan di Dewan Datuk Ismail Mamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Machang di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit yang memakai uniform tadika dilarikan seorang lelaki bersama kereta jenis Proton Exora milik ibu mangsa.

Mangsa ketika itu berada di dalam kereta ketika ibu kanak-kanak itu memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk membeli sarapan.

Abdullah berkata, ketika wanita berusia 40-an itu ke warung berdekatan untuk membeli kuih, secara tiba-tiba seorang lelaki masuk ke tempat duduk pemandu dan terus melarikan kereta yang tidak dimatikan enjin bersama anaknya yang ditinggalkan di dalam kereta berkenaan.

“Suspek dikatakan memakai kopiah dan berbaju kuning melarikan kereta terbabit yang berwarna keemasan bernombor pendaftaran DCK 9460 dan pihak kami melancarkan gerakan mencari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama daripada semua pihak penting bagi mencegah jenayah dan salah laku pelajar sekolah.

“Ia perlu dilakukan secara holistik bagi melahirkan pelajar yang cemerlang pada masa hadapan dan pihak kami sentiasa membuka pintu kepada semua untuk bekerjasama mengadakan program bagi melindungi pelajar daripada terlibat dengan kesalahan jenayah.

“Pelajar sekolah merupakan pelapis negara yang perlu dilindungi dengan sebaik mungkin daripada unsur keburukan dan jenayah yang merosakkan diri sendiri, harta benda awam dan negara,” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *