Gajah Pygmy Borneo ditemui mati di Lahad Datu

  • By Wendy. V
  • February 14, 2020
  • 0
  • 64 Views

Sebanyak lima kes kematian gajah dilaporkan di Sabah sejak awal tahun ini dengan kes terbaru seekor gajah Pgymy Borneo ditemukan mati di kawasan ladang di Bagahak, di sini, kelmarin.

Sebelumnya, tiga ekor gajah Pygmy Borneo dilaporkan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Sukau dan seekor lagi di sebuah ladang kelapa sawit di Tongkulap, Sandakan berdekatan Hutan Simpan Deramakot.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata bedah siasat untuk memastikan punca kematian gajah itu dijalankan pada hari yang sama.

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata walaupun kebanyakan kes dipercayai akibat keracunan, sama ada disengajakan atau tidak, tiada keputusan muktamad dapat diperoleh daripada analisis toksikologi sebelum ini.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah kini sedang berusaha gigih untuk menghantar sampel tisu bagi analisis toksikologi spektrum yang lebih mendalam dan meluas di dalam dan luar negara bagi mengenal pasti sumber toksin terbabit,” katanya.

Tambah beliau berkata, walaupun usaha itu membabitkan kos yang tinggi kepada kerajaan negeri, pihaknya tidak akan membiarkan perkara itu tanpa mengetahui punca kematian gajah berkenaan.

Menyatakan bahawa konflik manusia dan gajah bukan hanya terbatas di Sabah saja tetapi konflik itu jauh lebih teruk di seluruh rantau Asia.

“Sebagai contoh, di Sri Lanka, tahun lalu saja sejumlah 361 kematian gajah dicatatkan dan lebih 100 orang terbunuh dalam konflik membabitkan manusia dan gajah.

“Berbanding di Sabah, 150 kematian gajah direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2019 dengan kematian empat orang.

“Ia hanya menunjukkan bahawa walaupun kita mengalami keadaan yang agak serius berhubung kematian gajah akibat konflik, keadaan di Sabah masih terkawal,” katanya.

Christina berkata pemuliharaan gajah adalah salah satu keutamaan kerajaan Sabah dengan Kabinet negeri kelmarin meluluskan Pelan Tindakan Gajah Borneo (2020-2029) bagi meningkatkan usaha perlindungan dan pemuliharaan haiwan itu di Sabah.

”Oleh itu semua warganegara perlu bertanggungjawab memastikan kematian gajah atas apa juga alasan berada pada tahap minimum sementara kerajaan negeri berusaha ke arah mencapai kematian sifar,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 25 ekor gajah Pgymy Borneo ditemui mati di Sabah untuk tahun lalu sahaja.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *