Budak tercampak dari kereta ke lebuh raya

  • By Wendy. V
  • February 13, 2020
  • 0
  • 78 Views

Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak daripada kenderaan akibat kemalangan di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Pedas Linggi dekat Rembau, Selasa petang.

Walaupun tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya, mangsa bernasib baik apabila pemandu kereta lain di belakang sempat mengelak sebaik menyedari kelibat kanak-kanak terbaring di lorong kanan lebuh raya.

Kejadian sekitar 3.40 petang melibatkan tiga buah kereta masing-masing sebuah Honda Civic dan dua buah Perodua Myvi itu menjadi tular di laman sosial Facebook menerusi rakaman video berdurasi seminit.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata kejadian berpunca selepas kenderaan dipandu bapa kanak-kanak lelaki berkenaan dihimpit sebuah Perodua Myvi yang menukar laluan secara tiba-tiba.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu kereta Honda Civic hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang lebuh raya dan kemudiannya terlanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi di lorong tengah.

“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun di dalam kereta Honda Civic tercampak keluar di atas lorong kanan lebuh raya dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan pihak polis sedang mengesan pemandu Myvi berwarna biru bagi membantu siasatan.

“Ekoran dari maklumat orang awam dan video tular adegan kejar-mengajar itu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemandu kenderaan biru untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” katanya.


Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *