Koronavirus: Kadar pesakit sembuh di seluruh dunia lebih tinggi

  • By Wendy. V
  • February 11, 2020
  • 0
  • 79 Views

PUTRAJAYA: Bilangan keseluruhan pesakit yang sembuh daripada jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCov) adalah lebih tinggi berbanding jumlah kematian direkodkan di peringkat global.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan berdasarkan dapatan Sistem Maklumat Geografi, Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 3,496 daripada 40,555 kes positif virus itu telah sembuh, manakala hanya 910 kes kematian dicatat setakat semalam.

“Jumlah pesakit yang sembuh itu menyaksikan antaranya 3,468 kes di China, 10 kes di Thailand, dua kes di Singapura manakala tiga kes di Malaysia.

“Perkara ini perlu dilihat sebagai satu perkembangan positif bukan sahaja kepada Malaysia, malah seluruh dunia.

“Ia satu berita baik bahawa jangkitan koronavirus tidak semestinya berakhir dengan kematian, kalau ada penyakit lain, kemungkinan kematian lebih besar,” katanya dalam temu bual.

Untuk rekod, setakat 10 Februari, tiga kes pesakit koronavirus yang sembuh di Malaysia melibatkan warganegara China iaitu dua lelaki berusia 63 dan 40 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Ditanya mengenai sama ada fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara akan memburukkan penularan jangkitan koronavirus, Dzulkefly Ahmad memaklumkan ia dijangka tidak akan memberi impak.

Sebaliknya, beliau menjangkakan keadaan itu dapat mengurangkan penularan kerana virus itu dilihat lebih aktif merebak dalam cuaca sejuk.

“Pada musim panas ini, kita jangka tak beri kesan kerana virus mati dalam suhu tinggi (apabila virus berada di luar badan atau di atas permukaan sesuatu objek),” katanya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *