Tiada alasan untuk tidak belajar di rumah sepanjang tempoh PKP

Sementara ramai yang menjalani ‘self-quarantine’ untuk mengelakkan sebarang kemungkinan terdedah kepada virus COVID-19, remaja-remaja yang masih bersekolah mengamalkan penjarakan sosial atau ‘social distancing’ dan menjadikan rumah mereka sebagai tempat pembelajaran yang baru buat masa ini.

Para remaja sekolah mungkin perlu menyesuaikan diri mereka kerana sudah terbiasa untuk bersosial dan mendapatkan sebarang bentuk maklumat daripada guru mereka secara ‘face-to-face’.

Bagi mereka yang mengalami kesukaran untuk mengasimilasikan diri mereka terhadap perubahan dalam persekitaran pembelajaran, mahu tidak mahu mereka terpaksa juga untuk membiasakan diri dan menyiapkan kerja mereka pada waktu yang telah diaturkan.

Menurut World Health Organisation (WHO), kesihatan mental adalah merupakan satu keadaan di mana individu menyedari keupayaan diri mereka yang mampu untuk mengatasi tekanan hidup yang biasa, dan boleh bekerja secara produktif serta mampu untuk menghasilkan sumbangan kepada komunitinya.

Jadi, bagaimana caranya para remaja boleh belajar di rumah dengan mengambil peduli tentang kesejahteraan dan kesihatan mental mereka agar tidak terganggu?

1. Gunakan kelebihan pada teknologi

Hanya kerana anda hanya mampu untuk berada di rumah sahaja tidak bermaksud anda tidak boleh berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru anda.  Anda boleh sahaja melakukan perbincangan berkaitan pelajaran dan kerja sekolah melalui pelbagai aplikasi video seperti Skype, Zoom, dan lainnya. Sebagai seorang yang cilik teknologi, pastinya tidak mustahil untuk anda menggunakan kelebihan ini.

2. Mengekalkan gaya hidup sihat

Di waktu krisis sekarang ini, sangat penting untuk dapatkan tidur yang mencukupi, membuat senaman secara teratur, memastikan fikiran dan emosi terjaga serta mengamalkan teknik merehatkan minda ketika ‘stress’. Aktiviti fizikal sangat bagus kerana ianya dapat membantu untuk meningkatkan mood dan kesejahteraan diri secara keseluruhan. Selain itu, diet yang tinggi sayur-sayuran, buah-buahan dan kacang juga dikaitkan dengan tahap kesejahteraan yang tinggi.

3. Belajar kemahiran yang perlu

Salah satu kemahiran hidup yang boleh dipelajari oleh semua peringkat remaja ketika di rumah ialah kemahiran memasak. Kajian membuktikan bahawa memasak dapat memberikan pengaruh yang positif kepada cara bersosial, tahap keyakinan diri, kualiti hidup dan juga emosi yang terselindung. Selain itu, belajar kemahiran seperti ini penting agar anda dapat menjaga diri anda dan keluarga yang lain jika sesuatu berlaku di kemudian hari.

4. Bantu keluarga

Sekiranya anda baru melonjak remaja, banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk memudahkan hari atau kehidupan ibu bapa anda. Membantu ibu bapa dengan kerja-kerja di rumah dapat memastikan kebersihan rumah terjamin. Selain itu, anda akan berasa lebih rapat dengan keluarga dan dapat menguatkan lagi ikatan kekeluargaan. Secara tidak langsung, ianya dapat menaikkan mood dan menambahkan keriangan anda untuk belajar di rumah.

5. Jadi lebih produktif

Anda boleh dapatkan segala-galanya di dalam talian. Walaupun pembelajaran di atas talian tidak dapat menggantikan pembelajaran di dalam kelas sepenuhnya, tetapi anda juga harus bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri untuk mencipta sesuatu daripada sesuatu yang tiada apa-apa.

6. Amalkan penjagaan rohani diri

Tanpa mengira agama, luangkan masa untuk mengambil berkat, berdoa dan bersembahyang. Amalan-amalan rohani seperti ini dapat memperbaiki kesejahteraan dan keharmonian minda seseorang.

Dengan semua amalan ini semasa krisis pandemik koronavirus, ia akan membantu para remaja meningkatkan keharmonian psikologi dan tahap kesejahteraan semasa pendidikan di rumah. Pastikan anda tidak memandang ringan terhadap kesihatan minda anda.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *