Raflesia, bunga terbesar di dunia yang jarang dilihat, hanya wujud di Asia Tenggara!

Tahukah anda bahawa bunga terbesar di dunia boleh ditemukan di Malaysia? Mungkin namanya sudah biasa kita dengar, tetapi tidak ramai yang pernah melihat bunga ini secara langsung oleh kerana faktor bahawa ia hanya tumbuh di kawasan tertentu dan mekar untuk jangka pendek sahaja.

Inilah yang menjadikan bunga Raflesia antara tumbuhan aneh yang jarang dilihat dan sukar ditemui!

Nama saintifik bagi bunga ini ialah Raflesia arnoldii, masih memegang rekod sebagai bunga terbesar di dunia dari segi kelebaran dan beratnya. Pertama kali ditemukan pada tahun 1818 di hutan tropika Bengkulu, iaitu salah satu daerah di Pulau Sumatera, Indonesia.

Bunga Raflesia boleh dilihat pada wang ringgit Malaysia

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan endemik yang boleh ditemukan di hutan tropika di Asia Tenggara – termasuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia, dimana tumbuhan ini tumbuh di lantai permukaan hutan.

Jadi tidak mustahil sekiranya setiap negara ini melihat bunga Raflesia sebagai antara khazanah negara yang sangat dipandang tinggi nilainya. Seperti contoh, Indonesia telah menyenaraikan bunga ini sebagai salah satu bunga nasional negara republik itu. Di Malaysia, bunga dengan lima kelopak besar ini dilihat di atas setem, wang ringgit, dan juga guni plastik beras.

Sementara itu, beberapa bahagian bunga Raflesia turut dianggap sebagai makanan istimewa ‘delicacy’ di Thailand, sementara di bahagian lain di Asia Tenggara, tumbuhan itu dipercayai mujarab dalam penyembuhan penyakit dan digunakan secara tradisional dalam perubatan.

Raflesia arnoldii merupakan bunga raksasa yang penuh misteri. Jangka hayat untuk bunga ini hanya bertahan selama beberapa hari sahaja (paling lama seminggu) selepas ianya betul-betul mekar. Sebelum mekar, bunga ini mengambil masa selama lebih kurang 9 bulan untuk bercambah dari biji benih kepada pod dan seterusnya menjadi bunga. Jadi tidak hairanlah, kenapa yang ramai menanti untuk melihat bunga ini mekar.

Mempunyai bau yang mampu menarik serangga mendekati tumbuhan ini

Fakta menarik tentang bunga ini juga ialah ia adalah tumbuhan parasit berdasarkan sifatnya yang hidup menempel pada tumbuhan pokok untuk mengambil nutrien pada pokok tersebut. Selain itu, bunga raksasa ini turut mengeluarkan bau yang sangat menusuk seakan ‘bau bangkai haiwan’. Tujuannya ialah untuk menarik serangga-serangga dan menjadikan mereka sebagai makanan.

Menurut WWF, bunga Raflesia kini diancam oleh kepupusan disebabkan pembalakan, penebangan hutan dan diambil untuk tujuan perubatan oleh masyarakat tempatan. Bunga Raflesia merupakan khazanah alam hutan yang perlu dipelihara. Kepupusan bunga ini hanya akan membawa kepada kerugian besar terhadap negara.  

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *