Tun Mahathir kuarantin diri secara sukarela selepas punyai kontak dengan individu positif COVID-19

  • By Wendy. V
  • March 20, 2020
  • 0
  • 239 Views

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau kini menjalani kuarantin secara sukarela di kediamannya selepas mempunyai kontak rapat dengan Ahli Parlimen yang disahkan positif COVID-19.

Ianya dipercayai tokoh politik berusia 95 tahun ini bergambar dengan Ahli Parlimen Kuching dari DAP, Dr Kelvin Yii yang disahkan positif koronavirus, yang sedang dikuarantinkan di Hospital Umum Sarawak. 

“Saya patuh (kuarantin secara sukarela) kerana amat penting untuk menangani masalah ini, kita perlu berdisiplin.

Kita harus kuarantin diri di rumah selama 14 hari. Jika kita berbuat demikian, kuranglah kemungkinan penyakit ini merebak kepada orang lain,” katanya.

“Ini pengalaman saya sekarang ini, terkurung di rumah tidak boleh keluar, tidak boleh jumpa sesiapa pun, tidak boleh bersalam dengan orang tapi Alhamdulillah tidak begitu berat bagi saya,” jelasnya.

Dr Mahathir turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai hubungan rapat dengan individu positif COVID-19 supaya akur dan patuh dengan langkah kuarantin. Beliau menegaskan bahawa tindakan itu demi kebaikan bersama dan menepati tuntutan agama.

“Ini usaha kita menunaikan ajaran agama iaitu kita perlu berusaha sendiri sebelum berdoa dan solat hajat kita dimakbulkan oleh Allah.

“Bukan balik kampung atau tinggal di kampung tetapi tinggal di tempat kita berada sekarang. Tidak (perlu) balik kampung kerana kalau kita balik, seolah kita bercuti, mungkin kita bawa penyakit (COVID-19) ini ke kampung.

“Jika di kampung kita tak jaga diri kita, maka orang kampung pula dapat sakit, oleh itu jangan balik kampung,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, beliau berkata, perintah itu perlu dipatuhi kerana tidak mahu virus itu tersebar.

Dr Kelvin Yii dikuarantin di Hosp. Umum Sarawak setelah disahkan positif COVID-19

Sementara itu, Dr Kelvin dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif COVID-19 berdasarkan hasil keputusan ujian yang dibuat Jabatan Kesihatan di hospital itu, 16 Mac lalu.

Dr Kelvin, 34, memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang gejala virus sejak dua minggu lalu bahkan tiada demam.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *