Pandemik COVID-19 akan berakhir jika penawar ubat dan vaksin dapat dibangunkan

  • By Wendy. V
  • April 18, 2020
  • 0
  • 225 Views

Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bersetuju bekerjasama dalam Kaji Selidik Solidariti apabila negara ini akan melakukan ujian klinikal terhadap empat protokol rawatan COVID-19. Ujian klinikal ini menggunakan kombinasi remdesivir, lopinavir-ritonavir, interferon beta, chloroquine dan hydroxychloroquine di sembilan hospital milik kerajaan.

Malaysia bertuah memiliki sumber semula jadi yang berlimpah. Mungkin, negara boleh temukan sebatian penawar penyakit daripada sumber semula jadi di negara sendiri. Seperti vanconmycin, ubat antibiotik yang digunakan bagi merawat jangkitan bakteria, diekstrak daripada mikrob Amycolatopsis orientalis diperoleh dari hutan Borneo pada 1953.

Pandemik COVID-19 akan mampu dicegah dengan mencari penawarnya melalui pembangunan ubat dan vaksin. Namun begitu, pembangunan vaksin mengambil masa agak lama dan memakan kos yang tinggi. Masa diperlukan bagi menghasilkan ubat dan vaksin biasanya antara 10 hingga tahun selain mengambil kira faktor untuk memastikan ianya memiliki keberkesanan tinggi serta selamat digunakan.

Jadi, para saintis dan perubatan di seluruh dunia mencuba strategi berbeza dengan mengubah ubat lama untuk penyakit baharu bagi mengurangkan masa dan kos pembangunan ubat. Pada masa ini, terdapat 12 ubat diubah guna dan diuji keberkesanannya sebagai penawar COVID-19 antaranya termasuklah  baricitinib, lopinavir, ritonavir, darunavir, favipiravir, remdesivir, ribavirin, galidesivir, arbidol, chloroquine, hydroxychloroquine dan nitazoxanide.

Untuk vaksin pula, pada saat ini terdapat 22 syarikat farmaseutikal global yang membangunkan vaksin COVID-19. Ia memerlukan masa 12 hingga 18 bulan untuk menyiapkan ujian klinikal fasa pertama hingga ketiga serta mendapatkan kelulusan agensi farmaseutikal kebangsaan di negara masing-masing.

Tiada siapa yang boleh menjangka bilakah COVID-19 akan berakhir. Malah pakar penyelidik Universiti Harvard menjangkakan masyarat dunia perlu melakukan penjarakan sosial (social distancing) sehingga 2022 bagi memastikan rantaian COVID-19 benar-benar putus.

Episod wabak yang menghuru-harakan dunia hanya boleh ditamatkan jika satu daripada tiga syarat dipenuhi, iaitu adanya ubat dan vaksin; virus bertukar ‘jinak’ atau semua orang terjangkit virus dan tercipta kekebalan kelompok.

Membangunkan kekebalan kelompok mempunyai risiko tinggi dari segi kos dan angka kematian. Ia berdasarkan andaian semua orang terjangkit virus dengan 80% daripadanya akan mengalami simptom ringan. Mereka akan meneruskan hidup dan mempunyai kekebalan terhadap virus. Selebihnya sebanyak 20% mengalami simptom teruk memerlukan rawatan di hospital. Namun, angka pesakit 20% daripada populasi sesebuah negara ialah jumlah besar dan boleh meruntuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara berkenaan.

Mutasi virus menjadi strain lebih jinak adalah di luar kawalan manusia. Kita tidak mampu meramal bilakah virus akan bertukar jinak atau ganas. Wabak selsema Sepanyol (1918-1920) dan selsema babi (2009-2010) mempunyai trend dua gelombang yang virus H1N1 bertukar ganas pada gelombang kedua sebelum bertukar jinak. Kita tidak tahu sama ada virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19 akan mengikuti trend dua gelombang atau bila virus akan bertukar jinak kerana ia berada di luar kawalan kita.

Selagi penawar COVID-19 tidak dijumpai, pada masa ini satu-satunya cara berkesan untuk membendung wabak COVID-19 adalah dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, melakukan penjarakan sosial dan patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *