Menjaga kesihatan mental sepanjang tempoh PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki hari ke-23, yang menyaksikan sesetengah rakyat Malaysia menunjukkan kekreativitian mereka dengan bermacam ragam. Malah, ada yang mengambil teks ucapan Perdana Menteri Malaysia sebagai bahan untuk dijadikan parodi, mereka yang sebelum ini tidak pandai memasak mula belajar memasak, serta ramai yang memuatnaik aplikasi Tiktok untuk menghilangkan bosan. Tetapi, terdapat juga sebilangan mereka yang sudah mula berasa resah dan cemas terkurung di rumah sepanjang tempoh PKP ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati orang awam untuk sentiasa menjaga kesihatan emosi mereka dan juga berwaspada terhadap perubahan kesihatan mental. Khidmat Kesihatan Mental dan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) memaklumkan bahawa adalah menjadi perkara biasa bagi individu merasa tertekan, bimbang dan resah semasa krisis seperti pandemik COVID-19 ini.

Menurut MHPSS, setiap individu memberikan reaksi atau tindakbalas yang berbeza apabila menghadapi suasana yang tertekan. Bagaimana seseorang bertindakbalas kepada ia (tekanan emosi) dipengaruhi oleh latar belakang individu, perbezaan dengan orang lain dan komuniti yang mereka diami.

Pastinya ketakutan dan keresahan (anxiety) mengenai COVID-19 boleh tercetus dan menyebabkan emosi yang kuat terhadap individu itu. Selain itu, mereka juga boleh mengalami simptom panik dan resah disebabkan oleh kurangnya penerimaan maklumat atau fakta, khabar angin atau berita palsu yang disebarkan, atau pun dipengaruhi oleh media sosial.

Ini akan membawa kepada kesan negatif terhadap psikologi individu itu. Kesan tekanan ini juga berbeza pada setiap orang. Ada yang bimbang atau resah kerana tidak dapat hadir secara fizikal (contohnya untuk membantu orang tersayang), rasa kehilangan bantuan, kebosanan, kesunyian dan kemurungan.

Seseorang individu itu mungkin perlu dapatkan bantuan dan sokongan psikososial apabila mereka mengalami perubahan drastik dalam pola tidur, perubahan selera makan, perubahan mood melampau (mudah marah atau sedih), keletihan dan cepat lelah, terasing dari ahli keluarga atau rakan, kesukaran menumpukan perhatian, hilang minat terhadap perkara yang diminati, serta ketagihan untuk alkohol dan tembakau.

Penjagaan kesihatan mental ini perlu diberi perhatian, jika tidak mahu ia terus memudaratkan diri. Sekiranya anda atau ahli keluarga atau rakan anda menunjukkan gejala kemurungan dan tekanan emosi, dinasihatkan untuk  bersenam secara teratur, makan dan minum dengan seadanya, mengamalkan latihan kesegaran dan gaya hidup yang sihat.

Selain itu, individu tersebut perlulah bercakap dengan orang yang mereka percaya. Walaupun anda berada di rumah sepanjang tempoh PKP, anda masih boleh berkomunikasi dengan orang yang tersayang, rakan, dan kawan di media sosial melalui platform media sosial untuk mengurangkan kesepian dan pengasingan psikososial.

Jika pihak berkuasa kesihatan menyarankan anda untuk terhadkan hubungan sosial secara fizikal (contohnya semasa kuarantin diri), anda boleh terus berhubung melalui e-mel, media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Skype, Messenger, konferens video dan telefon serta lain-lain.

Bagi yang mempunyai keluarga, anda disarankan untuk meluangkan masa lebih banyak dengan anak-anak atau ahli keluarga. Contohnya, anda boleh mendengar dan berbual mengenai hobi atau kegemaran mereka. Di samping itu, membantu anak-anak menyiapkan tugas atau boleh juga mengerjakan solat bersama-sama.

Ketahui juga hobi baru yang boleh anda lakukan semasa berada di dalam rumah bersama keluarga contohnya bermain catur, karom, atau permainan video konsol. Anda juga boleh mencuba resepi makanan dan mengetahui samada anda berkemahiran atau sebaliknya.

Di saat krisis seperti inilah penjagaan kesihatan perlu dititikberatkan. Komuniti perlu sama-sama membantu mereka yang mengalami tekanan mental tidak hanya denga menghulurka bantuan dari segi keperluan dapur, tetapi juga dengan berkomunikasi dengan mereka untuk memulihkan semangat mereka.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *