Harimau Malaya diuji positif COVID-19, kes harimau pertama di dunia yang dijangkiti wabak itu!

Sebelum ini, kita mendengar bahawa terdapat beberapa kes COVID-19 yang bukan sahaja menjangkiti manusia, malahan juga haiwan peliharaan manusia. Seperti sebelumnya, tiga kes yang dilaporkan membabitkan haiwan kucing dan anjing peliharaan yang diuji positif COVID-19 setelah dijangkiti oleh tuan penjaga mereka.

Terkini, terdapat satu laporan bahawa seekor Harimau Malaya berusia empat tahun di Zoo Bronx di New York City yang telah diuji positif COVID-19. Harimau Malaya yang digelar Nadia itu dipercayai dijangkiti virus itu setelah menunjukkan simptom batuk kering dan hilang selera makan pada hujung bulan Mac. Dipercayai, harimau itu mendapat penyakit dari penjaga zoo yang tidak menunjukkan sebarang gejala wabak COVID-19 ketika itu.

Menurut Ketua doktor haiwan di Zoo Bronx, Paul Calle berkata ianya merupakan kes pertama yang diketahui setakat ini menjangkiti ‘kucing besar’ – haiwan bukan domestik dengan simptom COVID-19, dan yang terjangkiti oleh manusia.

Selain Nadia, kakaknya (Azul) serta dua harimau Amur bersama tiga singa Afrika turut membentuk gejala batuk kering dan hilang selera makan, walaupun belum dilakukan ujian ke atas mereka. Tetapi, kesemua haiwan terbabit dijangka pulih sepenuhnya dan kini mereka dibawah pengawasan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar.

Calle berkata, pasukan perubatan haiwan telah menjalani beberapa ujian diagnostik dan ujian darah ke atas Nadia setelah kali pertama ia menunjukkan simptom. Zoo tersebut hanya memutuskan untuk hanya menguji Nadia kerana ketika ini, hanya ia yang paling terjejas dan mulai hilang selera makan.

Menurut Calle lagi, perkara sebegini sememangnya masih baharu dengan belum banyak persoalan boleh dijawab termasuklah sama ada haiwan liar seperti harimau dan singa lebih mudah dijangkiti virus COVID-19 berbanding haiwan lain.

Sebelum ini, USDA dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit memberitahu bahawa belum ada bukti sahih yang menunjukkan haiwan domestik dan haiwan liar yang dikurung boleh menularkan novel koronavirus kepada manusia.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *