Golongan usia muda tiada jaminan terhindar COVID-19, malah boleh dapat simptom lebih teruk lagi

Jika dilihat kepada statistik jumlah kes kematian di Malaysia malah seluruh dunia, wabak COVID-19 dilihat lebih banyak meragut nyawa individu yang sudah berumur atau lanjut usia serta mempunyai sejarah penyakit kronik. Bagi golongan lebih muda, kebanyakan daripada mereka cenderung untuk mendapat simptom biasa/ringan dan lebih mudah untuk sembuh dengan sendirinya.

Namun, melihat kepada gelombang kedua pandemik COVID-19 turut menyaksikan peningkatan pada jumlah kes yang berlaku pada golongan usia muda. Terbaharu, bayi berusia baru 6 minggu, telah menjadi kes kematian termuda yang dilaporkan dijangkiti COVID-19 di Amerika Syarikat. Di Malaysia pula, pesakit termuda kini direkodkan berusia 12 hari dan kematian termuda pula seorang lelaki berusia 27 tahun.

Ini telah membuka mata para pakar dunia bahawa potensi virus ini untuk menjangkiti individu usia muda tidak harus terlepas pandang. Tanggapan bahawa COVID-19 hanyalah selsema biasa atau batuk ringan yang sama seperti penyakit berjangkit lain tidak boleh diguna pakai lagi. 

Berdasarkan kemaskini koronavirus melalui lamanweb rasmi mereka, peratusan golongan di bawah usia 30 tahun adalah rendah berbanding peratusan golongan lanjut usia. Namun hakikatnya, angka peratusan ini tidak menceritakan segala-galanya. Penggunaan sistem peratusan hanyalah menutup kebenaran di sebalik keterukan virus korona baharu ini.

Sumber: worldmetersinfo

Malahan, di luar negara contohnya New York, AS mencatatkan kes jangkitan penyakit wabak terbanyak daripada Korea Selatan, mendapati golongan muda yang berusia di antara 18 hingga 49 tahun merangkumi 54% daripada jumlah keseluruhan kes di situ, walaupun jumlah kes kematian lebih tinggi direkodkan merupakan pesakit yang berusia lanjut.

Ini menunjukkan risiko jangkitan COVID-19 tidak terhad kepada golongan berusia tetapi juga kelompak usia muda masih perlu berhati-hati dan waspada dengan wabak ini.

Sebagai konklusi, tindakan susulan perlu segera diambil jika tidak mahu dunia terus mencatatkan peningkatan kematian. Jangkitan COVID-19 tiada diskriminasi, ia boleh menyerang sesiapa sahaja tidak mengenal usia, jantina, bangsa dan agama.

Apa yang perlu diambil perhatian sekarang ialah sikap disiplin individu itu sendiri dengan mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan diri dan memastikan kesihatan diutamakan jika berada di tempat terbuka.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *