Sejauh mana keperluan topeng muka dan bahan pencuci tangan untuk orang awam?

  • By Wendy. V
  • March 24, 2020
  • 0
  • 309 Views

Bekalan topeng muka dalam negara yang tidak mencukupi mendesak kerajaan untuk mengambil beberapa langkah drastik termasuklah larangan untuk mengeksport dan kebenaran mengimport topeng muka.

Malahan, kerajaan turut bersetuju untuk menaikkan harga siling sehingga 150 peratus iaitu daripada RM0.80 kepada RM2.00 sekeping (harga runcit) bagi topeng pembedahan 3 lapisan.

Kebanyakan premis dan farmasi mengalami kekurangan hand sanitizer dan face mask

Terkini, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk membawa masuk secara berperingkat sejumlah 10 juta bekalan topeng muka bagi kegunaan anggota barisan hadapan yang menguruskan hal berkaitan COVID-19. Permintaan yang tinggi terhadap topeng muka bermula sejak penularan wabak COVID-19 di Malaysia bermula Januari lalu dan ianya naik mendadak apabila berlakunya gelombang kedua jangkitan pada akhir Februari lalu.

Hal yang sama turut berlaku terhadap bahan pencuci tangan (hand sanitiser) dan turut menjejaskan bahan pembunuh kuman atau antiseptik yang lain. Permintaan yang tinggi terhadap kesemua produk berkaitan menyebabkan wujudnya golongan yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tersebut berlipat kali ganda, terutamanya jualan atas talian yang dilihat agak longgar pemantauannya dari pihak berkuasa.

Jadi timbul persoalan, apakah topeng muka dan bahan pencuci tangan tersebut benar-benar diperlukan oleh orang awam dalam menghadapi gelombang COVID-19 ketika ini?

Bagi menjawab persoalan tersebut dengan lebih terperinci, penggunaan kedua-duanya perlu difahami dengan lebih baik.

Topeng muka:

1. Topeng muka hanya perlu dipakai oleh mereka yang ada gejala pernafasan sahaja seperti batuk, selsema dan bersin.
2. Tujuannya adalah untuk mengelakkan gejala tersebut daripada tersebar kepada orang lain.
3. Topeng muka yang dicadangkan ialah jenis topeng pembedahan 3 lapisan atau yang lebih baik (N95, dan sebagainya).
4. Namun begitu, adalah dinasihatkan agar mereka yang bergejala supaya tidak keluar ke tempat awam, sebaliknya tinggal di rumah.
5. Jika menggunakan topeng muka, langkah-langkah berikut perlu diambil perhatian:
(a) topeng muka hendaklah dipakai dengan kemas di muka iaitu ia mesti menutup bahagian hidung, mulut dan dagu,
(b) bahagian yang berwarna hendaklah menghadap keluar,
(c) bahagian berlogam hendaklah dipasang dengan kemas di bahagian hidung,
(d) tidak boleh digunakan lebih dari sehari dan tukar dengan segera jika ia basah, rosak atau kotor,
(e) buang topeng muka yang telah digunakan ke dalam plastik yang sepatutnya dan diikat sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Bahan pencuci tangan (hand sanitizer):

1. Penggunaan bahan pencuci tangan hanya diperlukan apabila tiada kemudahan air dan sabun cuci tangan.
2. Bertujuan untuk menghapuskan kuman atau bakteria yang ada pada tangan.
3. Bahan pencuci tangan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah yang berasaskan alhohol dengan kepekatan sekurang-kurangnya 60%.
4. Penggunaan yang kerap mungkin akan menyebabkan kerengsaan atau alahan bagi sesetengah orang yang sensitif (bergantung pada bahan asas produk tersebut).
5. Namun begitu, cara terbaik untuk mencuci tangan adalah dengan menggunakan sabun cuci tangan dan air yang bersih.
6. Cuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat menggunakan kaedah 7 langkah pencucian tangan yang betul.
7. Lakukannya dengan kerap terutamanya apabila selesai menggunakan tandas, sebelum makan, selepas batuk, bersin atau menghembus hingus.

Oleh itu, secara dasarnya dalam fasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sekarang, kedua-dua barangan tersebut adalah tidak diperlukan oleh orang awam selagi mana mereka patuh pada arahan tersebut dengan tinggal di rumah sahaja.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *