Individu jenis darah A lebih berisiko dijangkiti COVID-19

  • By Wendy. V
  • March 18, 2020
  • 0
  • 398 Views

Kajian awal dari China mendapati individu mempunyai darah A dipercayai lebih mudah terdedah kepada COVID-19, berbanding mereka yang berdarah O.

Hasil kajian mendapati, sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzhen, China yang dijangkiti dan meninggal dunia adalah dari kumpulan pesakit darah A. Hanya sebilangan kecil daripada pesakit berdarah O yang dijangkiti meninggal dunia akibat serangan virus itu.

“Pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti,” menurut penyelidik di Pusat Perubatan yang berpangkalan, di Wuhan, China.

Pasukan yang diketuai Wang Xinghuan, bagaimanapun berkata, kajian itu masih di terlalu awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya.

Kajian yang diterbitkan itu membandingkan lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19, di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu di sekitar Wuhan.

Ia menunjukkan lebih 31.16 peratus penduduk Wuhan mempunyai darah jenis A dan kajian di Hospital Wuhan Jinyintan, mendapati 37.75 pesakit COVID-19 di hospital itu mempunyai darah jenis sama.

Sampel darah yang sama juga menunjukkan 25.8 peratus mempunyai darah jenis O berbanding 33.84 peratus daripada keseluruhan populasi.

Hasil kajian itu juga mendapati 206 pesakit meninggal akibat virus itu, selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu berdarah O.

Bagaimanapun, saintis yang tidak terbabit dalam kajian itu memberitahu ‘South China Morning Post’ bahawa lebih banyak sampel darah perlu diambil bagi membantu pakar perubatan.

“Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus,” menurut Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin. Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Setakat ini, lebih 196,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 7,800 kematian berkaitan virus itu.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *