Beza Endemik, Epidemik dan Pandemik

  • By Wendy. V
  • March 13, 2020
  • 0
  • 317 Views

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa COVID-19 kini berada di tahap pandemik lebih-lebih lagi dengan banyak negara melaporkan penemuan kes penyakit berkenaan. Tetapi apa beza pandemik, endemik dan epidemik yang selalunya digunakan untuk mengklasifikasi penyebaran sesebuah penyakit?

Endemik

Endemik merupakan istilah yang merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu, termasuklah dalam skop yang lebih besar seperti sebuah negara misalnya.

Sekiranya kita meneliti asal perkataan ini dalam bahasa Inggeris, “endemic” merujuk kepada kumpulan orang asal atau orang “native” yang duduk di sesuatu kawasan.

Perkataan asalnya dalam bahasa Greek adalah “in+demos” yang bermaksud “kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat khas.”

Perkataan endemik mula direkodkan pada tahun 1650 sebagai perkataan Inggeris dipinjam daripada evolusi perkataan asal “indemos” yang ketika itu dieja sebagai “endemos.”

Memandangkan sifat wabak endemik sentiasa menjadi ancaman masyarakat tertentu, hanya beberapa penyakit ketika ini yang dikategorikan sebagai kategori endemik.

Contohnya, wabak demam malaria yang sentiasa menyerang di sesetengah tempat di benua Afrika. Tiga negara dalam dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan Peru. Congo diancam penyakit demam kuning dan malaria, manakala Madagascar pula berdepan dengan wabak bubonik yang sangat berbahaya sementara Peru pula berdepan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi.

Epidemik

Epidemik bermaksud penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama.

Epidemik berasal dari perkataan Greek “epi” + “demos” dengan “epi” bermakna “kelompok tertentu” dan “demos” bererti “orang ramai, komuniti, kumpulan.”

Epidemik mula digunakan untuk merujuk kepada wabak dalam kelompok komuniti oleh orang Greek sebelum orang Perancis mengubah ejaannya kepada “epidemique” yang menjadi asas kepada ejaannya sekarang – “epidemic.” Istilah Inggeris ini mula digunakan pada tahun 1600 dan kekal sehingga kini.

Contoh wabak epidemik di negara kita ialah serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998 dan 1999 yang membawa kepada 105 kematian.

Pandemik

Istilah pandemik atau “pandemic” pula merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar, tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata, mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Sesebuah pandemik bermula daripada wabak peringkat epidemik yang merebak terlalu luas sehingga tidak terkawal. Ingin ditegaskan di sini, sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik dan menyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik.

Pandemik berasal dari istilah Greek “pan” yang bermaksud semua dan “demos” yang bermakna orang, membawa maksud penuh “semua orang.” Istilah Inggeris yang ada sekarang diambil daripada pinjaman istilah Latin “pandemus” dengan pangkalnya digantikan dengan akhiran “ic” pada tahun 1660.

Oleh kerana menyerang dalam skop yang luas, wabak pandemik yang berlaku merupakan ancaman berisiko tinggi serta kerap kali diperkatakan, ekoran kesannya yang mampu membunuh ramai orang dalam masa yang singkat.

Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Justine serta “The Black Death” yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke-14.

Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *