Smart Hadith, aplikasi oleh JAKIM dan SKMM untuk rujuk kesahihan hadis

Di bulan Ramadan, kemungkinan pasti akan timbul banyak hadis-hadis daripada platform media sosial. Yang lebih menggusarkan, hadis-hadis yang dikongsikan oleh pengguna media sosial diragui kesahihannya. Kesannya, ramai yang akan mempercayai hadis tersebut tanpa menyelidik dengan lebih mendalam tentang perkara terbabit.

Jadi, bagi mengelakkan daripada terjebak dengan penyebaran hadis yang diragui dan tidak sahih, terdapat satu aplikasi yang boleh digunakan bagi merujuk status kebenaran sesebuah hadis.

Smart Hadith adalah sebuah aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Aplikasi pintar ini membolehkan pengguna untuk mendapatkan pelbagai koleksi hadis secara percuma berdasarkan rujukan kitab, bab, perawi dan lain-lain. Jadi sekaligus denga adanya aplikasi ini akan memudahkan pengguna menyemak status sesebuah hadis itu sama ada palsu atau sahih.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata aplikasi itu dibangunkan bagi memartabatkan hadis sebagai rujukan kedua selepas al-Quran.

“Projek aplikasi mudah alih yang ditanggung sepenuhnya oleh SKMM ini dilengkapi dengan fungsi carian, hadis harian, perkongsian maklumat ke media sosial, bookmark dan pertanyaan,” katanya.

Selain itu, aplikasi tersebut juga dapat membantu golongan sasaran seperti pendakwah, penyelidik, pensyarah dan pelajar serta meningkatkan kepantasan capaian terhadap maklumat yang disediakan.

Projek pembangunan aplikasi Smart Hadith ini dibiayai sepenuhnya oleh SKMM yang telah dibangunkan sejak Mac 2018 namun baru siap sepenuhnya pada Februari 2019. Pelancaran aplikasi itu pula secara rasminya dibuat pada 28 Januari lalu.

Smart Hadith ini boleh dimuat turun oleh pengguna melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Jadi, sebelum anda berkongsi hadis atau membaca hadis yang dikongsikan di media sosial, pastikan anda menyemak dahulu kebenaran sahih di aplikasi tersedia ini. Hadis palsu yang beredar di media sosial boleh menyelewang maklumat yang betul dan bertentangan dengan perkara yang sebenar.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

Read Previous

Bau mulut ketika berpuasa? Cara menghilangkan bau mulut

Read Next

Isu Rohingya: Najib tegas bukan hipokrit, kenyataan diputar belit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *