NFCP 1: 50 menara dibina di Sabah

  • By Wendy. V
  • February 19, 2020
  • 0
  • 84 Views

Sabah menerima jumlah pemasangan menara tertinggi di bawah projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara Fasa 1 (NFCP 1) tahun ini.

Ketua Wilayah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Sabah dan Labuan, Roslan Mohamad berkata sebanyak 50 menara membabitkan 32.9% dipasang di Sabah daripada 152 menara yang dipasang di seluruh negara.

“Pemasangan 13 menara akan dibina di Pitas manakala 13 menara lagi melibatkan kawasan Nabawan, Tenom, Keningau, dan Papar.

“Empat daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, dan Beluran akan dipasang sebanyak 13 menara dan 11 menara lagi dipasang di Tongod, Tuaran, Kudat, dan Kota Marudu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Roslan berkata, pemasangan kemudahan rangkaian telekomunikasi itu akan menyediakan perkhidmatan menggunakan teknologi 3G dan 4G dengan kelajuan purata 30 Megabit sesaat (Mbps).

Menurutnya, di bawah projek NFCP fasa kedua (NFCP 2), ia akan melibatkan sebanyak 500 lokasi di 210 kawasan termasuk negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu, Sabah, dan Sarawak.

Katanya, bagi fasa kedua ini, Sabah sekali lagi menjadi penerima pemasangan menara tertinggi.

“Selain faktor geografi, cabaran lain yang perlu dihadapi untuk pemasangan menara di negeri ini antaranya infrastruktur asas, bekalan elektirk, serta populasi.

Bagaimanapun, beliau yakin proses pemasangan menara di Sabah akan siap seperti yang dijadualkan bagi menambah baik perkhidmatan 3G dan 4G di negeri ini.

Roslan turut mendedahkan bagi tempoh sehingga suku tahun ini, peratusan liputan rangkaian telekomunikasi di Sabah sebanyak 85.1 peratus bagi 3G dan 60.2 peratus 4G.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *