Perjuangan untuk terus bertahan: AirAsia dan Malaysia Airlines bakal bergabung?

  • By Wendy. V
  • April 22, 2020
  • 0
  • 244 Views

Sektor penerbangan adalah antara yang paling terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Syarikat penerbangan utama Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi masalah yang sama dan terus mencari pelan untuk menyelamatkan diri.

Dua syarikat gergasi penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia kini menghadapi masalah di mana banyak penerbangan mereka terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir. MAS dan AirAsia adalah pesaing rapat di dalam industri penerbangan di Malaysia.

Dengan kemerosotan yang dialami pada permintaan penerbangan akibat impak oleh pandemik COVID-19, syarikat penerbangan tidak mendapat keuntungan dan terus berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan bisnes mereka. Walaupun ada yang merancang untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan, tetapi yang lain merasakan lebih sukar untuk selamatkan kewangan yang diperlukan.

Ada desas-desus yang mengatakan kedua-dua syarikat itu perlu bergabung untuk terus bergerak di dalam industri penerbangan, memandangkan keadaan sekarang ini yang tidak menunjukkan jalan yang terbaik untuk industri tersebut bertahan lama.

Dalam satu wawancara, menteri senior di dalam kerajaan menyatakan langkah penggabungan MAS dan AirAsia adalah antara pilihan untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat yang terkesan akibat COVID-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu dalam kenyataan bahawa perbincangan mengenai pilihan lain akan turut diadakan tidak lama lagi dalam usaha menyelamatkan industri penerbangan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa gesaan supaya penggabungan MAS dan AirAsia itu bukanlah sesuatu yang baharu dan pernah dibincangkan sebelum ini, malah sebelum pandemik bermula lagi, walaupun tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.

Sekiranya MAS dan AirAsia bergabung, ia akan menjadi syarikat penerbangan terbesar negara dan turut menjadi syarikat yang kompetitif di Asia. Setakat ini, MAS mempunyai 81 buah kapal terbang yang aktif berlepas dan syarikat ini sinonim dengan menggunakan pesawat yang dihasilkan oleh Boeing.

Sementara itu, AirAsia mempunyai 61 buah kapal terbang aktif yang kebanyakannya dihasilkan oleh AirBus.

Dari segi keuntungan pula, AirAsia telah melihat perkembangan yang beterusan dalam operasi mereka sejak dilancarkan pada tahun 1993. Pada 2019, AirAsia mencatat keuntungan sebanyak RM12.4 bilion, dengan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 16% serta pertumbuhan di dalam perniagaan sebanyak 31%.

Sementara MAS pula telah sekian lama menghadapi masalah, di mana syarikat ini hanya mencatat 1% dalam pertumbuhan pelanggan tahun lalu. MAS mencatat kerugian setiap tahun dan terpaksa diberi suntikan kewangan oleh kerajaan sebanyak RM5 bilion untuk terus beroperasi.

Sangat jelas AirAsia mempunyai pengetahuan dan mampu memonopoli untuk menghasilkan kejayaan daripada MAS. Walau bagaimanapun, maklumat terperinci berkaitan penggabungan ini memerlukan perbincangan yang sangat matang.

Malaysia masih di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. Walaupun MAS telah menyambung semula penerbangan mereka pada 1 April, tujuan utamanya hanyalah untuk membawa pulang rakyat pulang semula ke tanah air dan bukannya perkhidmatan komersial seperti kebiasaannya.

PKP akan ditamatkan pada 28 April, walaupun terdapat kemungkinan bahawa ia akan terus dilanjutkan. Sekiranya PKP ditarik balik, penerbangan penumpang yang disambung semula mungkin akan memakan masa, dengan mengambil kira negara lain masih terus menutup sempadan negara.

AirAsia dijangka akan memulakan semula penerbangan domestik pada 28 April ini, bermula di Malaysia, dan seterusnya akan terus menambah lagi penerbangan domestik ke Thailand, Filipina, India dan Indonesia, bergantung kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Apa pendapat anda terhadap gabungan syarikat penerbangan MAS dan AirAsia? Patutkah dua pesaing utama ini bergabung atau tidak?

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *