Pasaran harga rumah dijangka turun, gangguan ekonomi susulan impak negatif COVID-19

  • By Wendy. V
  • April 18, 2020
  • 0
  • 206 Views

Seluruh dunia menyaksikan kelumpuhan ekonomi yang parah sejak pandemik COVID-19 mula menular. Hampir kebanyakan negara-negara dunia menghentikan perkhidmatan penting negara untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Sekatan perjalanan dan perintah berkurung dilaksanakan, mengambil masa lama untuk keadaan ekonomi kembali pulih.

Sehubungan itu, industri hartanah di kebanyakan negara dijangka terkesan oleh gangguan aktiviti ekonomi susulan langkah sekatan perjalanan dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan. Pasaran harga rumah dijangka akan susut sehingga 10 peratus susulan impak negatif penularan COVID-19, menurut pandangan peserta industri.

Presiden Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA), Lim Boon Ping berkata, impak penularan COVID-19 akan mendorong peralihan ketara dalam transaksi pasaran hartanah di negara ini. Beliau menambah bahawa pelarasan harga dan transaksi hartanah dijangka berlaku seperti situasi yang berlaku ketika pasca Krisis Kewangan 1997.

“Pasaran hartanah dijangka melihat pelarasan dalam harga sekitar kira-kira 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai tinjauan pasaran hartanah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, turut menjangka pasaran hartanah akan perlahan dengan sedikit pelarasan harga susulan impak penularan COVID-19. Namun begitu, sebanyak mana pelarasan harga berlaku, ia bergantung kepada prestasi ekonomi benar dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

Sementara itu, dalam persidangan maya ‘Beli Hartanah atau Tidak Pasca COVID-19?’, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata terdapat kemungkinan pemaju hartanah menambah nilai (kepada projek atau unit yang ditawarkan) manakala harga yang diminta terhadap hartanah itu pula akan berkurangan.

Selain itu, persekitaran pembiayaan juga akan lebih kondusif berikutan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berbanding 8.0-9.0 peratus atau pada kadar dua angka sebelum ini. Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa usaha pembelian hartanah memerlukan komitmen serta pelaburan jangka panjang.

“Oleh itu, ia bukan satu pilihan yang baik sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk membelinya bagi tempoh tertentu walaupun harga dijangka jatuh dalam tempoh singkat pasca COVID-19 serta kemungkinan keadaan pulih pada masa terdekat,” katanya.

Sheldon berkata pendapatan dan pekerjaan telah terjejas teruk oleh penutupan premis perniagaan yang tidak disenaraikan dalam perkhidmatan penting semasa PKP, dan banyak rakyat Malaysia kini mengutamakan isu kehidupan seharian.

Beliau berkata, sentimen yang lembap itu berkemungkinan berterusan sehingga separuh kedua 2020, namun langkah seperti pengumuman pakej rangsangan ekonomi dan penangguhan selama enam bulan dalam pembayaran balik pinjaman boleh membantu pasaran untuk bangkit semula nanti.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *